Barbin melintasi garisan penamat perlumbaan Senawang ke Muar hari ini. FOTO BERNAMA
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Muar: Pelumba Bardiani CSF, Enrico Barbin mempamer kayuhan bertenaga untuk memenangi peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017, hari ini.

Pelumba dari Itali itu mencatatkan masa empat jam 09 minit 16 saat untuk menamatkan kayuhan sejauh 176.3 kilometer yang bermula di Senawang dan berakhir di Muar.

Pelumba Isowhey Sports Swisswellness Anthony Giacoppo naib juara diikuti Filippo Pozzato dari Team Wilier Triestina ketiga.

Berbaki dua peringkat perlumbaan, pelumba Dimension Data, Ryab Gibbons mengekalkan jersi kuning (kategori individu keseluruhan) dengan masa 23:02.22s.

Dia turut mengekalkan jersi teal (kategori pecut) dengan 45 mata, berada 10 mata di depan untuk meninggalkan Travis McCabe (United HealthCare Pro Cycling).

Pelumba Infinite AIS Cycling Team, John Kronborg Ebsen mengekalkan jersi Raja Bukit.

Jersi putih untuk pelumba terbaik Asia bertukar tangan apabila pelumba Vino Astana Motors, Yevgeniy Gidich menarik diri untuk mewakili negaranya Kazakhstan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Bahrain yang sedang berlangsung.

Jersi putih kini digunakan oleh pelumba Nippo-Vini Fantini Hideto Nakane.

Peringkat ketujuh esok akan bermula di Melaka ke Rembau sejauh 148.1 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 10:09 PM