Najib bersama Raja Salman ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi di Seri Perdana. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kerajaan Arab Saudi memberi maklum balas positif terhadap permintaan Malaysia untuk menambah jumlah kuota haji, tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam pertemuan hari ini, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud akan mempertimbangkan perkara itu sewajarnya.

"Dari segi peranan Raja Salman sebagai Penjaga Dua Kota Suci, sudah tentu pengurusan jemaah haji adalah satu perkara penting dan sentiasa diberi perhatian yang berat oleh kerajaan Arab Saudi.

"Malaysia begitu berterima kasih di atas penambahan kuota haji sehingga kira-kira 30,000 jemaah untuk tahun ini. Atas permintaan kita untuk menambah kuota itu, Raja Salman sudah memberi maklum balas positif, tetapi ia perlu diberi pertimbangan secara lebih mendalam lagi," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Raja Salman di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata, sebelum diteruskan dengan mesyuarat delegasi.

Najib berkata, Malaysia turut mengemukakan permohonan mewujudkan dua pusat jemaah haji berhampiran Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan permohonan itu kerana dalam konteks undang-undang negara itu, orang asing tidak boleh memiliki tanah.

"Jadi, ia sedang diteliti sama ada boleh dilaksanakan menerusi kaedah penyewaan jangka panjang.

"Kami turut membincangkan mengenai perkembangan di Timur Tengah dan hubungan negara Islam dengan kuasa besar," katanya.

Menurutnya, Raja Salman turut memaklumkan persetujuan menubuhkan 'King Salman Centre For Global Peace' di Malaysia bagi membanteras naratif yang dikeluarkan pihak radikal dan ekstremis.

Katanya, pusat itu akan bekerjasama dengan Malaysia dengan menyemarakkan konsep wassatiyyah bukan saja di Malaysia, tetapi negara Barat.

"Raja Salman juga berpuas hati dengan peranan Malaysia dalam isu antarabangsa khususnya membabitkan tindakan menjelaskan Islam yang sebenar dan memerangi keganasan termasuk IS dan Daesh.

“Selain itu, kerjasama dalam bidang ketenteraan turut ditekankan dan tindakan akan diambil untuk memperkukuhkan dalam bidang pertahanan dan keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 9:21 PM