AFP

Bandung: Bom kecil meletup di taman sebelum penyerang melarikan diri ke pejabat kerajaan dan berbalas tembakan dengan polis di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, letupan dipercayai daripada periuk tekanan dan suspek melarikan diri ke bangunan kerajaan tempatan.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan polis berbalas tembakan dengan lelaki itu dan sebahagian bangunan dibakar.

Ketua Polis Anton Charliyan berkata, tiada mangsa yang cedera dan semua orang diarah keluar dari bangunan itu.

“Kami cuba berunding tetapi suspek cuba membakar (tempat itu),” katanya kepada stesen televisyen tempatan, MetroTV.

“Dia daripada rangkaian pengganas,” katanya tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Anton berkata, suspek yang tidak dikenal pasti identiti cedera akibat kejadian itu.

Suspek ditahan selepas situasi cemas selama kira-kira sejam.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 2:10 PM
POLIS di lokasi kejadian cuba berunding dengan suspek. FOTO siaran KompasTV