PEMAIN Chelsea perlu tenang, pamer rentak konsisten.
AFP

London: Antonio Conte percaya pengalaman Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris dua tahun lalu amat penting dalam usaha mengukuhkan cengkaman mereka untuk bergelar juara.

Kemenangan 3-1 ke atas Swansea kelmarin memberikan kelebihan 11 mata buat skuad Conte yang melangkah ke sepertiga terakhir musim ini dengan tekanan lebih dirasai pasukan di belakangnya.

Trofi Liga Perdana akan kembali ke Stamford Bridge jika Blues mampu mengelak sebarang kesilapan pada minggu-minggu terakhir dan pengurus Chelsea itu yakin pemainnya sudah membuktikan kesungguhan mereka apabila menjulang trofi itu sewaktu era Jose Mourinho.

“Bukan mudah untuk mengekalkan tumpuan terhadap keseluruhan pertandingan. Namun saya mempunyai ramai pemain yang beraksi dan menang sebelum ini,” kata Conte.

“Mereka amat menyedari kami perlu terus berada di puncak liga dan cuba menjulang gelaran.

“Saya bertuah musim ini. Saya bertuah kerana memiliki ramai pemain yang kerap memenangi gelaran sebelum ini.

“Jika kadangkala, saya melihat mereka terlalu santai, adalah menjadi hak saya untuk cuba membantu mereka fokus untuk setiap detik.

“Namun secara jujurnya, saya tidak perlu cuba untuk mengekalkan tumpuan dan fokus pemain.”

Chelsea hampir kehilangan mata apabila Fernando Llorente menyamakan jaringan Cesc Fabregas pada minit ke-19 namun jaringan Pedro Rodriguez dan Diego Costa dalam tempoh 18 minit terakhir memastikan kemenangan.

Conte berpuas hati dengan cara pasukannya mengikut rancangan dan menegaskan: “Saya mempunyai pasukan yang hingga sekarang berhak berada di puncak liga. Ia patut diperkatakan ketika ini.

“Kami bermain baik dengan intensiti yang bagus dan menjaringkan banyak gol.

“Percayalah, saya paling gembira dengan pemain. Mereka berhak mendapatkannya. Setiap hari saya melihat mereka ketika sesi latihan, menunjukkan sikap dan komitmen yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 8:10 AM