Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Kangar: Sebanyak 151 motosikal diperiksa dan 85 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas seperti memandu tanpa lesen dan pengubahsuaian nombor pendaftaran kenderaan dalam operasi lumba haram dan pencegahan jenayah di sekitar kawasan Kuala Perlis, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar Deputi Superintendan Zaini Talib berkata, operasi khas selama dua jam bermula 5 petang itu bertujuan mencegah lumba haram dan jenayah.

"Motosikal yang ditahan tidak disita, sebaliknya selepas diperiksa kita keluarkan saman bagi memberi pengajaran kepada penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas.

"Semua penunggang motosikal yang ditahan berusia awal 20-an termasuk enam dari Kedah, seorang dari Pulau Pinang dan selebihnya penduduk setempat," katanya ditemui selepas operasi itu.

Zaini turut mengingatkan remaja yang menunggang motosikal mematuhi peraturan lalu lintas dan mengelakkan menunggang secara melulu.

Turut hadir pada operasi itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 12:10 AM
Mahamad Akhir (tiga dari kiri) melihat penunggang motosikal yang ditahan ketika Op Lumba Haram di sekitar Kuala Perlis, hari ini. FOTO AZHAR RAMLI