Pemain THT meraikan kemenangan muncul juara hoki Piala TNB setelah menewaskan KLHC 5-4 menerusi penalti shoot-out 5-4 selepas terikat 4-4 dalam aksi sebenar, di Stadium Hoki Tun Razak, malam tadi. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Terengganu Hockey Team (THT) mengekalkan kejuaraan Piala TNB selepas menumpaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menerusi pukulan penalti shoot-out 5-4 selepas terikat 4-4, malam tadi.

Pemain import, Ahmad Shakeer Butt muncul wira apabila menyempurnakan pukulan terakhir THT menumpaskan bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak itu, KLHC tidak menunggu lama untuk memperoleh gol pertama apabila tonggak import, Anton Poul Fritz Ebeling berjaya melakukan gerakan solo sebelum melepaskan pukulan deras menumpaskan penjaga gol, Hafizuddin Othman.

Tiga minit kemudian pemain import THT dari Korea Selatan, Jang Jonghyun berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti sulung untuk mengikat kedudukan 1-1.

Sebaik bersambung suku kedua, KLHC kembali di depan apabila Razie Rahim berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

Anak didik Harun Alrashid Samri mengukuhkan kedudukan selepas memperoleh gol ketiga melalui Ebeling pada minit ke-25 berpunca dari gerakan pukulan sudut penalti.

THT merapatkan kedudukan pada minit ke-35 apabila Jonghyun berjaya menyempurnakan pukulan penalti stroke.

Pada minit ke-49, Jonghyun terus mempamerkan aksi cemerlang apabila melengkapkan hatrik dan menjaringkan gol penyamaan melalui pukulan sudut penalti.

Syamim Yusof kembali meletakkan KLHC di depan apabila menjaringkan gol pada minit ke-53 apabila mereka dihadiahkan pukulan penalti stroke.

agaimanapun, anak buah Sarjit Singh memperoleh gol keempat melalui pemain import, Nicolas Enrique Della Tore apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out.

THT membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM80,000, manakala KLHC turut menerima RM80,000 selaku naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 11:13 PM