ANGGOTA bomba memeriksa kedai makan yang musnah terbakar di Jalan Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Sebuah kedai makan popular dengan menu nasi lemak untuk sarapan di Jalan Air Terjun Telaga Tujuh, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 7.30 pagi membabitkan kedai kelolaan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan itu tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 7.38 pagi dan dua jentera bersama seorang pegawai serta 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, tiba di tempat kejadian pada jam 8.07 pagi.

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sebuah kedai makan di Jalan Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman

"Sejurus tiba anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah kedai makan kelas B yang diperbuat daripada kayu.

"Kemusnahan kedai dianggarkan 90 peratus dan api dapat dikawal pada jam 9.10 pagi," katanya ketika dihubungi di sini.

Nur Hafizah berkata, kerugian dan punca kejadian masih disiasat.

Seorang saksi yang juga kakitangan pembersihan yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah, 40-an, berkata, kejadian berlaku ketika awal pagi dan semua kedai di kawasan itu masih ditutup.

"Ketika kejadian tiada sesiapa dalam kedai yang menjual nasi lemak itu. Saya sampai api sudah padam dan cuma beberapa anggota bomba masih berusaha memadam bara api.

"Ramai pengunjung termasuk pelancong asing suka makan nasi lemak di kedai itu yang kata mereka lazat. Selepas terbakar hari ini... kena cari kedai lain pula untuk sarapan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 6:46 PM