KUMPULAN penentang rejim Syria menutup mayat seorang militan Daish di bandar Al-Bab selepas mereka menawan keseluruhan bandar itu daripada kumpulan berkenaan, kelmarin. Bagaimanapun, seorang anggota Daish dipercayai melakukan serangan berani mati di kawasan itu semalam, menyebabkan lebih 40 orang terbunuh. - AFP
Agensi

Beirut: Seorang pengebom berani mati menyerang kumpulan penentang rejim Syria yang disokong Turki di bandar Al-Bab, menyebabkan 42 orang terbunuh.

Kejadian berlaku beberapa jam selepas kumpulan berkenaan meraikan kejayaan mereka menawan bandar itu daripada Daish.

Penyerang meletupkan sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan di luar pejabat keselamatan kumpulan penentang di Kampung Susian, lapan kilometer ke timur laut Al-Bab, lapor kumpulan hak asasi manusia Syria.

Sebahagian besar yang terbunuh ialah anggota kumpulan penentang berkenaan.

Serangan itu memusnahkan dua pos kawalan dan mencederakan sejumlah besar pejuang.

Ia dipercayai dilakukan Daish yang memberi tentangan sengit untuk mempertahankan Al-Bab sejak beberapa minggu lalu.

Bandar strategik itu, kira-kira 25 kilometer ke selatan sempadan Turki ialah kubu kuat terakhir Daish di wilayah Aleppo.

Seorang saksi, Mohammed al-Tawil berkata, penyerang meletupkan keretanya di luar pejabat keselamatan ketika kerja mengatur kepulangan penduduk awam ke Al-Bab dilakukan.

Turki mengerah tenteranya memasuki Syria Ogos lalu untuk melancarkan operasi yang bukan sahaja menyasarkan Daish, tetapi juga kumpulan Kurdis yang dianggap pengganas.

Dengan sokongan Turki, kumpulan penentang rejim Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan untuk menawan Al-Bab.

Bandar itu dikuasai Daish sejak hujung 2013 dan ditawan sepenuhnya oleh kumpulan penentang kelmarin.

Bagaimanapun, militan Daish yang berundur dari bandar itu masih menguasai kawasan sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:04 AM