REKAAN sopan untuk ibu menyusu.
REKAAN sopan untuk ibu menyusu.
KOLEKSI pakaian menyusu mengikut trend semasa.
KOLEKSI pakaian menyusu mengikut trend semasa.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Ditubuhkan khusus untuk ibu menyusukan bayi, butik Elzarra Nursingwear menampilkan pelbagai rekaan pakaian menyusu bagi memudahkan ibu menyusukan bayi tanpa mengira tempat dan masa ketika berada di luar rumah.

Kebanyakan rekaan yang mesra penyusuan itu menggunakan elemen perincian seperti zip atau butang di bahagian dada bagi memudahkan sesi penyusuan bayi.

Ujar pemilik butik berkenaan, Nur Syamimi Murad, 27, idea untuk memperkenalkan pakaian penyusuan yang mengikut rekaan trend terkini berdasarkan masalah biasa yang terjadi dalam kalangan ibu dan bayi.

“Masalah yang selalu timbul ialah zip tersekat, muka bayi sakit terkena bekas zip, butang tercabut atau lambat memberi susu hinggakan si kecil mengamuk.

“Oleh itu, kami menggunakan bukaan secara selak bagi memastikan ibu mudah menyusukan bayi mereka dengan kadar segera. Kelainan dapat dilihat dari segi rekaannya.

“Rekaannya tampak lebih segar, muda dan terkini. Ia berdasarkan pengalaman sendiri bergelar ibu dan sering tercari-cari rekaan pakaian mesra penyusuan yang menarik,” ujarnya.

Jelasnya, permainan warna ceria dan gelap sering mendapat sambutan dalam kalangan ibu. Bagi memenuhi permintaan pelanggan, koleksi rekaan blaus dan jubah mengikut trend semasa lebih diutamakan.

Saiz yang ditampilkan bermula daripada S hingga 2XL dengan harga RM69 hingga RM109. Namun, jika mahukan saiz lebih besar, ia boleh dibuat menerusi tempahan.

Material yang digunakan daripada como crepe dan lycra bercorak. Semua koleksi ditampilkan jenama berkenaan boleh didapati secara dalam talian di Instagram atau Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:03 AM