FRANK menerima Royal Gold Medal pada 1941.
PAULO penerima Royal Gold Medal 2017.
ROYAL Gold Medal menjadi antara anugerah tertinggi dalam dunia seni bina.
GANARDINER Museum antara rekaan Paulo.
ANTARA bangunan ilham Cockerell.
OPERA House Sydney antara projek Arup.
Susunan Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Royal Gold Medal adalah anugerah seni bina setiap tahun yang diberikan Royal Institute of British Architects (RIBA).

Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar individu atau kumpulan yang terbabit dengan seni bina antarabangsa.

Anugerah pertama diterima Charles Robert Cockerell pada tahun 1848.

Sementara penerima kedua anugerah antarabangsa itu adalah Luigi Canina pada tahun 1849.

Selain itu arkitek berpengaruh pada abad ke-19 dan ke-20 termasuk Frank Lloyd Wright pada tahun 1941, Le Corbusier pada tahun 1953, Walter Gropius pada tahun 1956, Ludwig Mies van der Rohe pada tahun 1959 dan Buckminster Fuller pada tahun 1968 antara senarai penerima anugerah berkenaan.

Bagaimanapun, tidak semua penerima dalam kalangan arkitek semata-mata.

Jurutera seperti Ove Arup umpamanya menerima anugerah itu pada tahun 1966 sementara Peter Rice pula pada tahun 1992.

Dua individu ini memainkan peranan yang cemerlang dalam merealisasikan beberapa bangunan utama abad ke-20 di seluruh dunia.

Malah berulang kali juga Royal Gold Medal diberikan kepada beberapa penulis berpengaruh dalam dunia seni bina termasuk Rev Robert Willis pada tahun 1862, Sir Nikolaus Pevsner pada tahun 1967 dan Sir John Summerson pada tahun 1976.

Begitu juga dengan ahli teori seperti Lewis Mumford pada tahun 1961 dan Colin Rowe pada tahun 1995.

Tidak ketinggalan ahli arkeologi seperti Sir Austen Henry Layard pada tahun 1868, Karl Richard Lepsius pada tahun 1869, Melchior de Vog¸È pada tahun 1879, Heinrich Schliemann pada tahun 1885, Rodolfo Lanciani pada tahun 1900 dan Sir Arthur Evans pada tahun 1909.

Lebih membanggakan, RIBA baru-baru ini turut mengumumkan Paulo Mendes da Rocha, arkitek terkenal di Brazil sebagai penerima anugerah Royal Gold Medal 2017.

Banyak bangunan bercirikan kebudayaan dihasilkan Paulo antaranya dalam rekaan ‘Brutalist Brazil’ yang membabitkan struktur konkrit terdedah dengan signifikan kemasan. Pada tahun 1957 beliau berjaya menyiapkan rekaan bangunan pertamanya Athletic Club of Sao Paulo, diikuti sebilangan besar bangunan awam di bandar termasuk Saint Peter Chapel pada tahun 1987, Arca Brazil Muzium MuBE pada tahun 1988, Patriach Plaza pada tahun 1992 hingga 2002, Pinacoteca do Estado Galeri pada tahun 1993 dan FIESP Cultural Center pada tahun 1997.

Seterusnya RIBA adalah sebuah badan profesional untuk arkitek bukan saja di United Kingdom, malah turut membabitkan peringkat antarabangsa.

Ia diasaskan untuk kemajuan seni bina di bawah piagam pada tahun 1837 dan ‘Tambahan Piagam’ diberikan pada tahun 1971.

Asalnya dinamakan Institut British Architects di London dan ditubuhkan pada tahun 1834 oleh beberapa arkitek terkemuka.

Ia termasuk Decimus Burton, Philip Hardwick, Thomas Allom, William Donthorne, Thomas Leverton Donaldson, William Adams Nicholson, John Buonarotti Papworth, dan Thomas de Grey.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:01 AM