Pemain Terengganu, Issey Farran Morgan Nakajima (kiri) cuba melepasi hadangan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Ramezey Che Ros dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Kem Terengganu kembali ceria apabila berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.

Terengganu yang tewas dalam dua perlawanam berturut-turut sebelum ini bermula garang dengan melancarkan gerakan awal melalui kapten Issey Nakajima Farran namun berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Selepas percubaan itu skuad Penyu tidak perlu menunggu lama apabila berjaya meledak jaringan pendahuluan menerusi rembatan kencang Federico Falcone yang bijak menyempurnakanpeluang hasil bola muntah yang sebelum itu dirembat Issey Nakajima pada minit keempat.

Pada minit ke-19 skuad Penyu hampir berjaya menambah jaringan kedua tetapi rembatan pemain pertahanan Mohd Firdaus Mohd Faudzi sedikit melepasi palang sekali gus terselamat pintu gol skuad Warga Kota.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang menguasai perlawanan terus mencipta gerakan menarik namun peluang terhidang yang diperolehi pemain tengah Lutfulla Turaev pada minit ke-27 berjaya ditampan keluar penjaga gol.

Bagaikan tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah, skuad pelawat memperkemaskan gerakan dan berjaya memperolehi peluang pertama menerusi rembatan Guilherme De Paula pada minit ke-32 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Muhammad Syazwan Yusoff.

Tiga minit berselang gol penyamaan yang dicari pelawat akhirnya tiba melalui tandukan Na'im Nazmi Zainuddin hasil kesilapan pertahanan Terengganu untuk menjadikan kedudukan 1-1 hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua skuad Penyu berjaya menambah jaringan kedua melalui sepakan percuma Turaev dari luar kotak penalti pada minit ke-52 untuk mendahului 2-1.

Tamat perlawanan keputusan kekal Terengganu menang 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 11:04 PM