Tentera Iraq memasuki lapangan terbang Mosul dan kanan, bedilan meriam oleh Pasukan Pergerakan Popular yang membantu serangan bagi menawan barat Mosul. - Foto AFP/REUTERS
AP

Baghdad: Tentera Iraq dengan bantuan tentera Amerika Syarikat berjaya menguasai lapangan terbang Mosul hari ini, selepas mengepung dan membedil kedudukan militan Negara Islam (IS) sejak beberapa hari lalu.

Pasukan elit Iraq juga berjaya memasuki barat Mosul buat pertama kali sejak kepungan bermula empat bulan lalu.

Menurut Pemerintah Operasi Bersama, Brigadier Jeneral Yahya Rasool, lapangan terbang itu berjaya ditawan sepenuhnya selepas pertempuran sengit walaupun pertempuran kecil masih berlaku di beberapa bahagian pinggir lapangan terbang.

Tentera Iraq juga sudah menawan pangkalan tentera di sebelah lapangan terbang itu.

Serangan bagi menawan barat Mosul bermula enam hari lalu, disertai tentera dan polis Iraq dengan sokongan tentera Amerika serta Pasukan Pergerakan Popular - kumpulan bersenjata Syiah yang disokong kerajaan.

PBB menganggarkan kira-kira 750,000 orang awam terperangkap di barat Mosul, bandar raya kedua terbesar Iraq.

Tentera Iraq menguasai timur Mosul sebulan lalu, sebelum melancarkan serangan bagi menawan bahagian barat bandar raya yang dibahagi dua oleh Sungai Tigris itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 7:12 PM