Mohd Sukri (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barang dirampas selepas menahan lelaki Afrika. FOTO Mohd Fadly Samsudin
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan menggunakan ‘ayat cinta’ didalangi dua lelaki warga Afrika dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kajang, Rabu lalu.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) turut menahan tiga wanita tempatan berusia 35 hingga 37 tahun dipercayai kekasih suspek.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, sindiket terbabit menggunakan ayat cinta di Internet sehingga mendorong wanita kesepian memasukkan wang ke dalam akaun kononnya sebagai bayaran penghantaran barang.

"Hasil siasatan mendapati semua wang diperoleh hasil penipuan itu dimasukkan ke dalam akaun tiga wanita warga tempatan terbabit.

"Sindiket ini mensasarkan golongan wanita tempatan seperti ibu tunggal serta golongan profesional wanita termasuk doktor, guru dan peguam sebagai mangsa," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, kes penipuan melalui Internet sepanjang tahun lalu mencatatkan sebanyak 35 kes manakala tahun ini terdapat empat kes membabitkan kerugian sebanyak RM5.9 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 6:40 PM