Anifah pada sidang media di Wisma Putra hari ini.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kuota jemaah haji adalah antara agenda utama yang akan dibincangkan sempena lawatan rasmi empat hari Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia bermula Ahad ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dijangka berbincang mengenai kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Arab Saudi, selain meneroka potensi baharu pada masa hadapan.

"Hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi sangat kukuh, malah kedua-dua negara juga sudah meluaskan hubungan sejak sekian lama dalam bidang politik, ekonomi, pertahanan dan urusan haji ," katanya pada sidang media mengenai lawatan rasmi Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia di sini, hari ini.

Raja Salman dijangka melawat Malaysia selama empat hari mulai Ahad ini.

Dalam lawatan itu, Raja Salman dijadualkan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik (Islam dan Wasatiyyah) dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena Majlis Konvokesyen pada 28 Februari ini.

Anifah berkata, Arab Saudi adalah rakan kongsi perdagangan kedua Malaysia di Asia Barat dan jumlah dagangan antara kedua negara meningkat 19.8 peratus pada 2016, berbanding tahun sebelumnya dengan nilai terkini RM13.12 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:43 PM