MASYARAKAT Palestin dan penyokong mereka berkumpul untuk menunjuk perasaan membantah lawatan Netanyahu di Sydney, semalam. - AP
Agensi

Sydney: Kebanyakan orang, yang menaiki pesawat dari Singapura ke Sydney hanya mengambil masa kira-kira tujuh jam.

Tetapi tidak bagi Benjamin Netanyahu.

Bagi kes perdana menteri rejim Israel itu, ia mengambil masa lebih 11 jam.

Berdasarkan peta di bawah, penerbangan pemimpin Israel itu melencong jauh ketika terbang dari Singapura ke Australia menyebabkan masa penerbangannya bertambah beberapa jam.

Ia bukan pilihan yang dibuat sesuka hatinya.

Sebaliknya, pesawat milik El Al - syarikat penerbangan kebangsaan Israel - membuat keputusan untuk menggunakan laluan lebih jauh kerana mahu mengelak ruang udara Indonesia.

Seperti negara yang penduduk majoritinya Islam, Indonesia tidak mempunyai hubungan rasmi diplomatik dengan Israel kerana kekejaman rejim itu di Palestin.

Beberapa kesannya memang diketahui - pemegang pasport Israel tidak dibenarkan memasuki beberapa negara Islam, kecuali dalam beberapa keadaan.

Bagaimanapun, laluan pelik pesawat yang membawa Netanyahu itu menunjukkan satu lagi kesan terhadap situasi diplomatik Israel. Indonesia tidak membenarkan El Al akses kepada ruang udaranya, menyebabkan pesawat itu terpaksa melencong jauh.

Dan Indonesia bukan satu-satunya negara yang melarang akses itu. Kajian sebelum ini menunjukkan bagaimana penerbangan Netanyahu dari Tel Aviv ke Singapura turut terpaksa melencong, bagi mengelak ruang udara Arab Saudi atau negara lain.

Pemimpin Israel sebelum ini berharap untuk mengadakan hubungan lebih rapat dengan Jakarta.

Kedua-dua negara itu dilaporkan secara tidak rasmi meningkatkan hubungan mereka pada 2012 dengan Indonesia membuka pejabat konsul di Ramallah, Palestin, termasuk meletakkan seorang diplomat yang secara tidak rasmi akan menjadi duta ke Israel.

Bagaimanapun, apabila Netanyahu menggesa Indonesia menjalinkan hubungan diplomatik sepenuhnya, kerajaan Indonesia berkata, ia hanya akan bertindak demikian jika rakyat Palestin diberikan sebuah negara merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 7:27 AM