KAYU diukir mengikut motif yang sudah dilakarkan.
PROSES membakar besi menggunakan arang.
ANTARA sebahagian parang dan pisau hiasan yang dihasilkan Haddy.
Haddy bersama sebahagian daripada koleksi parangnya.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Jarang sekali dapat mengenali pembuat parang yang datang dari Sabah kerana kebanyakan pembuat dan peminat parang adalah dari Semenanjung.

Namun, selepas melihat minat dan cita-citanya untuk mengembangkan perniagaan kraf logam, penulis akui keupayaan itu ada pada Haddy Piris, 35.

Penulis diperkenalkan sewaktu menyertai Program Liputan Media di Sabah sempena Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2017. Kedatangan media disambut Haddy dan ahli keluarga di bengkel perusahaannya di Kampung Kipaliu, Kinaratuan, Ranau.

Menurut Haddy, ketika bekerja sebagai pemotong kayu balak, dia sudah pun berjinak-jinak dengan rakan sekerja yang lebih berpengalaman untuk menghasilkan barangan logam seperti parang perhiasan, pisau sembelih dan lepa.

“Asalkan ada waktu terluang, rakan kerja di kem balak akan mengisinya dengan menyiapkan parang. Kesungguhan rakan itu mencetuskan minat saya untuk mendalami cara membuat parang.

“Kebetulan, perusahaan membuat parang di kampung saya ketika itu belum cukup dikenali, namun memerlukan orang yang mahir membuatnya.

“Selepas berhenti kerja, minat itu dijadikan kerjaya tetap hingga membolehkan saya meraih pendapatan dengan membuat parang dan pisau untuk kegunaan melapah dan menyembelih,” katanya.

Haddy tidak menggunakan besi dijual di kedai kerana kos yang tinggi dan sebahagiannya pula tidak tahan karat, sebaliknya dia mencari besi boleh didapati di pusat pengumpulan besi buruk.

“Kos membeli besi baru sangat tinggi dan ini akan menyebabkan kos pembuatan parang menjadi mahal.

“Biasanya, pembuat parang dan saya sendiri akan menggunakan besi buruk kerana lebih tahan lama dan berkualiti.

“Saya mengambil inisiatif menggunakan besi daripada mata gergaji, rantai jengkaut dan spring kereta untuk menjadikan parang atau pisau kerana harganya yang murah.

“Rantai jentera berkenaan dikatakan sangat berkualiti, kukuh dan tahan lasak. Semakin lama usianya, semakin berharga,” katanya.

Selepas mahir teknik asas pembuatan parang dan pisau untuk kegunaan harian, Haddy meluaskan lagi usahanya dalam bidang itu dengan menghasilkan barangan logam untuk dijadikan perhiasan.

Parang dan pisau hiasan memiliki motif ukiran kayu yang berbeza di samping gabungan penggunaan pelbagai jenis kayu bagi menampakkan nilai komersial pada barang berkenaan.

Bagi barangan hiasan, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah pemilihan jenis kayu dan kayu yang memiliki corak unik tersendiri.

“Terdapat beberapa jenis kayu yang boleh dipelbagaikan agar hulu parang kelihatan cantik dan menarik seperti kayu kopi, kayu malam, kayu merbau, kayu sepatir, kayu jati dan kayu pokok limau.

“Saya menggabungkan dua atau tiga jenis kayu yang memiliki warna dan urat berbeza pada hulu parang.

“Ia akan kelihatan lebih cantik sekiranya pusar kayu atau ‘burl’ digunakan kerana memiliki nilai estetika tinggi.

“Pusar kayu ini jika dipotong mengikut serat, urat kayu atau mana-mana sudut akan tetap kelihatan menarik dan membuatkan hulu parang lebih bernilai,” kata Haddy.

Hulu parang akan diukir dengan motif tertentu atau mengikut permintaan pelanggan. Parang Ranau memiliki motifnya tersendiri seperti daun periuk kera, pucuk paku dan sisik nanas yang sudah menjadi tanda pembuatan parang ciptaan Haddy.

Selepas diukir, hulu parang akan digosok dengan kertas pasir dan disapu dengan syelek untuk mengilatkan hulu berkenaan.

Untuk tip, pemilik parang boleh sapukan minyak bayi seminggu sekali pada besi parang bagi mengelakkannya daripada berkarat.

Pada masa yang sama, Haddy turut mencipta hulu parang menggunakan tanduk rusa, namun ia bergantung kepada permintaan pelanggan kerana agak sukar untuk mendapatkan bekalannya.

Kos untuk menghasilkan hulu parang daripada tanduk rusa akan meningkat seiring kesukaran untuk memperoleh bahannya.

Haddy yang memiliki pelanggan di Ranau dan Semenanjung Malaysia masih mengekalkan harga jualan parang dan pisau serendah RM150 hingga RM500.

Pembuatan parang berkenaan akan menjadi semakin mahal bergantung kepada jumlah dan jenis gabungan kayu serta ukiran yang diingini pelanggan.

Orang ramai yang berminat untuk melihat dan mendapatkan pembuatan seni parang dan pisau Haddy boleh berkunjung ke Hari Kraf Kebangsaan 2017 yang kini berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:03 AM