HARUMAN AJ De’Parfum. Gambar kanan, Nurul Akmar Zulhairi.

Menggunakan konsep wangian inspirasi daripada jenama antarabangsa, ibu kepada tiga cahaya mata, Nurul Akmar Zulhairi selaku pengasas AJ De'Parfum ini mengakui dirinya amat bertuah kerana sentiasa mendapat ruang, sokongan serta tunjuk ajar daripada keluarga dan teman rapat untuk menaikkan jenama berkenaan.

M: Bagaimana timbul idea untuk berniaga?

Nurul: Sebelum adanya AJ De’Parfum, saya seorang perunding perkahwinan dan jurumekap. Enam tahun, saya aktif menatarias pengantin dan mereka yang memerlukan khidmat solekan sehingga saya bertemu jodoh pada 2008 dan mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada keluarga.

Ternyata rupanya saya tidak betah menjadi suri rumah sepenuh masa. Jadi, untuk memenuhi waktu terluang, saya mula meneroka bidang perniagaan dalam talian dengan menjadi ejen dropship bagi produk orang.

Dari situlah terbitnya impian untuk menghasilkan produk jenama sendiri. Atas nasihat dan tunjuk ajar teman rapat, pada 2015 saya memilih untuk mengeluarkan produk wangian inspirasi.

M: Apakah antara persediaan untuk terjun ke bidang perniagaan wangian?

Nurul: Saya bersama pasukan AJ De’Parfum banyak mempelajari asas membuat wangian menerusi video di laman YouTube, mengkaji jenis bauan dan belajar cara menghasilkan wangian terbaik. Dengan sedikit pengetahuan yang ada, saya mula membeli barang asas dan membancuh wangian di rumah. Sebagai permulaan, saya hanya menjual wangian kepada keluarga, rakan dan kenalan terdekat.

Kalau diikutkan, hampir setiap hari saya mencuba resipi wangian dan kami berusaha mempelajari kaedah terbaik untuk mendapatkan haruman tahan lama serta menyenangkan. Saya juga banyak berbincang dengan teman dan keluarga untuk mengenal pasti haruman pilihan yang sesuai dihasilkan.

M: Bila wangian AJ De’Parfum mula dipasarkan secara serius?

Nurul: Apabila yakin dengan haruman yang saya hasilkan, barulah kami mula memberi tumpuan kepada pasaran yang lebih luas. Sebagai permulaan, saya mengambil pakar kimia bertauliah untuk membantu melancarkan proses penghasilan produk. Kemudian, barulah wangian dijual menerusi laman sosial, dikembangkan kepada ejen dropship, stokis dan kini boleh didapati menerusi laman web www.ajdeparfum.com. Menariknya, jenama ini bermula dengan hanya 10 bauan inspirasi dan kini sudah mempunyai 43 variasi pilihan.

Alhamdulillah, November lalu menjadi saat paling bermakna buat diri saya apabila AJ De’Parfum melangkah setapak lagi dengan pelantikan Fattah Amin sebagai duta. Pada majlis itu, kita turut melancarkan dua wangian edisi Fattah Amin untuk lelaki dan wanita.

M: Apakah perubahan paling besar selepas berjaya menaikkan jenama AJ De’Parfum?

Nurul: Saya bersyukur kerana dalam tempoh setahun menguruskan perniagaan bersama rakan kongsi, syarikat bukan saja menjana pulangan yang baik, malah saya dapat berkongsi nikmat kesenangan bersama ramai peniaga kecil, suri rumah dan mereka yang berkecimpung dalam bisnes dropship.

Saya juga sudah mempunyai pejabat dan makmal sendiri di Shah Alam yang lengkap dengan Hipster Bar, iaitu bar isian semula haruman AJ De’Parfum. Di bar ini, pengguna AJ De’Parfum boleh mendapatkan isian semula haruman pada harga lebih murah dan berpatutan. Paling utama, saya berjaya membawa wangian berkualiti dan patuh piawaian antarabangsa untuk semua penggemar minyak wangi seperti saya.

M: Apakah cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang menceburi bidang ini.

Nurul: Terlalu banyak cabaran untuk saya dan pasukan AJ De’Parfum sampai ke tahap ini. Di awal permulaan bisnes, saya bergelut dengan banyak isu termasuk mencari modal yang besar untuk memulakan perniagaan. Apabila haruman berjaya dihasilkan, saya terpaksa pula berdepan dengan isu kualiti produk, reka bentuk, pembungkusan, pemasaran, hinggalah kepada isu dalaman syarikat.

Namun demikian, saya bersyukur kerana berjaya melalui cabaran di setiap fasa dengan tenang berikutan sokongan seluruh pasukan AJ De’Parfum serta rakan kongsi perniagaan. Malah, kami juga mendapat respons yang sangat positif daripada rakan strategik, ejen dropship, stokis dan pelanggan.

M: Apa perancangan akan datang?

Nurul: Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong AJ De’Parfum. Sebagai tanda penghargaan, Mac ini AJ De’Parfum akan melancarkan satu lagi produk eksklusif dengan kolaborasi Fattah Amin. Ini adalah produk premium untuk golongan dewasa yang mengetengahkan haruman asli pertama AJ De’Parfum.

Dalam masa sama, saya dan rakan kongsi turut merancang untuk mengeluarkan rangkaian produk kanak-kanak terdiri daripada cologne dan semburan pewangi. Besar harapan saya jika AJ De’Parfum dapat bergandingan bersama jenama besar lain, menguasai pasaran antarabangsa. - Intan Mas Ayu Shahimi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:01 AM