Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Pengurus Besar Kanan Bahagian Sumber Manusia ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi siasatan menyalahguna kedudukannya dengan meluluskan peruntukan kira-kira RM80,000 bagi rawatan kecantikan kulit serta pelangsingan badan untuk diri sendiri.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majisret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini hari ini sehingga 26 Februari.

Siasatan terhadap suspek lelaki berusia 41 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu menggunakan kedudukan jawatan untuk kepentingan peribadi.

Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah pada 9.30 pagi diiringi pegawai SPRM dan dilihat memakai baju lokap warna jingga dengan tangannya bergari.

Suspek ditahan oleh SPRM semalam di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras kira-kira 11 pagi.

Suspek dikatakan mempunyai masalah obesiti dan disyaki menyalahgunakan kad kredit korporat yang dibekalkan oleh syarikat kepadanya untuk menjalani satu rawatan tidak ada dalam kontrak faedah.

Difahamkan, syarikat terbabit akan membekalkan kad kredit korporat kepada pegawai yang layak untuk kegunaan rasmi.

Suspek dilantik sebagai Pengurus Besar, Bahagian Sumber Manusia pada Januari 2015 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar Kanan di bahagian yang sama pada Disember 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 11:23 AM
PEGAWAI SPRM membawa suspek untuk perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail