LADANG Ternakan UPM tawar pengalaman mengujakan.
PEMANDANGAN indah menanti di Ladang Tenusu UPM.
PASANGAN pengantin baru mengabadikan kenangan berlatarbelakangkan suasana indah yang menghijau.
LADANG Tenusu juga adalah pusat pembelajaran pelajar UPM.
LIHAT dengan lebih dekat cara memerah susu lembu di Ladang Tenusu UPM.
TIGA jenis rusa terdapat di ladang Rusa UPM.
SI kecil teruja memberi makan rusa yang jinak.
KENALI dan dekati kuda di Pusat Ekuin UPM.
MUZIUM Anatomi Haiwan menawarkan pengalaman mengujakan.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Panorama indah petang itu dengan pemandangan menghijau dan lembu tenusu yang bebas meragut rumput nyata cukup mendamaikan.

Mana tidaknya, pemandangan bukit yang menghijau dengan rimbunan pokok di puncak bukit dan terdapat beberapa ekor lembu bebas meragut rumput menawarkan suasana persis di luar negara.

Itu belum senyuman lebar pasangan pengantin yang mengabadikan kenangan bergambar berlatar belakang pemandangan yang cukup indah.

Kegembiraan juga jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang sememangnya teruja saat berpeluang memberi makan kepada lembu tenusu serta mengusap lembut kepala si rusa.

Itulah yang pastinya dirasai saat menjelajah di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi lawatan berpandu eDU-PARK UPM.

Diperkenalkan sejak Jun 2013, eDU-PARK adalah pakej pengalaman pembelajaran di UPM yang bersesuaian untuk pelawat awam dewasa dan kanak-kanak.

Menerusi lawatan ini, pe­ngunjung berpeluang meneroka dunia akademik universiti penyelidikan Malaysia dan menimba pengetahuan daripada pakar dalam suasana pelancongan.

Ia juga peluang bagi pengunjung untuk memahami proses menjalankan penyelidikan melalui interaksi edu-pelancongan dengan penggunaan pelbagai kemudahan penyelidikan, disertai dengan kualiti yang terbaik dalam pengajaran.

Terdapat tujuh lokasi yang menerapkan pembelajaran melalui pengalaman apabila setiap modul lawatan adalah lawatan berpandu dan interaktif bersesuaian dengan slogan ‘Play, Learn and Stay Young’.

Ladang Tenusu Putra

Terletak di Ladang 16, ladang tenusu ini adalah lokasi pengunjung berpeluang mempelajari banyak maklumat terutama berkaitan ternakan lembu tenusu.

Kunjungan selama kira-kira 45 minit di sini, pengunjung juga berpeluang merasai kedamaian padang rumput yang luas iaitu kawasan penyelidikan untuk haiwan ruminan bersiar-siar dengan bebas.

Di ladang ini juga pengunjung dapat melihat selembu iaitu kacukan lembu dengan seladang.

Menariknya di sini, selain dapat melihat sendiri kelibat lembu yang bebas di kawasannya, pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti, antaranya melihat bagaimana susu lembu diperah, memberi susu kepada anak lembu menggunakan botol, memberi makanan dan cara memproses susu.

Ladang Rusa

Pengunjung berpeluang mendekati rusa jinak selain mempelajari sendiri jenis rusa yang ada.

Berkunjung ke sini, terdapat tiga jenis rusa yang boleh dilihat iaitu rusa timur, rusa samba dan rusa dama dengan jumlah keseluruhan di ladang ini kira-kira 150 ekor.

Namun, tatkala berkunjung ke sini, anda mungkin hanya melihat kira-kira 30 hingga 50 ekor rusa yang ditempatkan di kadang dan selebihnya bebas di kawasannya.

Sudah namanya rusa jinak, pengunjung pastinya disambut mesra oleh rusa ini terutama jika memegang makanan berupa palet yang disediakan.

Pengunjung terutama si kecil pastinya teruja saat berpeluang mengusap kepala si rusa ataupun dikerumuni rusa yang inginkan makanan dipegang di tangan.

Pusat Ekuin UPM

Pusat ekuin adalah tarikan utama di UPM yang menawarkan pengunjung peluang mendekati kuda. Meliputi kawasan seluas empat hektar, terdapat dua kandang yang menempatkan 19 kuda.

Pusat ekuin ini juga mempunyai padok (padang kecil untuk kuda) bertaraf antarabangsa dan kawasan padang rumput.

Menariknya dengan lawatan kira-kira 45 minit di sini, pengunjung boleh belajar teknik dan cara penjagaan kuda serta mendandannya.

Pengunjung juga berpeluang menyentuh, memberi makan (lobak merah disediakan) dan melawat di sekitar sekitar pusat ini.

Bagi peminat sukan ekuestrian, kelas menunggang kuda juga boleh didapati dengan kadar bayaran yang menarik.

Bayaran masuk: RM23 (dewasa) | RM11 (kanak-kanak dan warga emas)

Muzium Warisan Melayu

Muzium ini ditubuhkan secara rasmi pada Januari 2013 dengan tujuan khas bagi mengumpul, memulihara dan memelihara artifak Melayu silam untuk didokumentasikan, dipamerkan kepada umum dan dikaji secara mendalam oleh penyelidik serta pengkaji warisan.

Kewujudan muzium ini akan membuka ruang untuk masyarakat umum mengenali dan menghayati kehebatan warisan Melayu sejak zaman-berzaman.

Penekanan diberikan terhadap pengumpulan serta pemuliharaan artifak dan khazanah ketamadunan bangsa Melayu sekitar Semenanjung Malaysia, meliputi seni binaan tradisional, manuskrip Melayu, busana dan tekstil, senjata dan alat tempur, peralatan dan isi rumah Melayu.

Menariknya, di sini pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan seni bina rumah lama, antaranya rumah tradisional Pahang berusia 97 tahun, ruang tradisional Terengganu berusia 200 tahun, rumah tradisional Perak atau rumah kutai berusia 115 tahun dan rumah tradisional Negeri sembilan berusia 81 tahun.

Muzium Warisan Melayu ini juga menawarkan beberapa pakej menarik buat pengunjung termasuk bermalam di muzium dengan bayaran RM150 seorang.

Muzium Anatomi Manusia

Muzium ini juga menyediakan maklumat mengenai dunia perubatan dan kesihatan manusia menerusi pameran anatomi atau sifat tubuh kita.

Dengan memaparkan anatomi iaitu struktur dalam dan luar tubuh manusia, antara yang boleh dilihat di sini ialah koleksi asal bahagian atau organ manusia, model rangka daripada kepala hingga hujung kaki, selain perkakasan dan perubatan.

Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam model interaktif yang bercirikan ‘cuba buat’ membabitkan modul Lima Deria Manusia Menakjubkan, Jantung Yang Kuat Dalam Sistem Peredaran, Struktur Tulang, Di Mana Otot Kita, Meneroka Sistem Respiratori (Pernafasan), Otak dan Sistem Saraf, Lelaki Lawan Manusia dan Apa Terjadi Terhadap Makanan Yang Kita Makan.

Muzium Anatomi Haiwan

Muzium ini memberi peluang kepada pengunjung meninjau dan memahami sudut perubatan dan kesihatan haiwan menerusi model disediakan.

Pameran yang boleh dilihat di sini termasuk struktur anatomi haiwan yang dipersembahkan menerusi skrin interaksi, koleksi asli, spesimen haiwan diawet dan diagram anatomi haiwan.

Muzium ini juga padat dengan maklumat mengenai latar anatomi pelbagai jenis haiwan termasuk mengenali spesimen tulang keluarga ekuin, primat, unggas, felin, kanin dan reptilia.

Saksikan juga pelbagai rangka haiwan besar seperti kuda sehingga tulang sekecil katak di muzium itu.

Galeri Serdang

Galeri Serdang memaparkan penciptaan seni yang besar dan unik daripada artis tempatan bertaraf antarabangsa. Galeri ini menimbulkan rasa ingin tahu dan menggalakkan pemikiran kreatif dalam kalangan pengunjung menerusi aktiviti seni, pameran dan ceramah umum oleh kurator galeri atau kurator jemputan.

Lawatan ke galeri akan tidak akan lengkap tanpa berjalan di sepanjang pameran percubaan yang mencerminkan landskap pengetahuan yang ketara dalam kehidupan kita.

Dapatkan cenderamata eksklusif oleh artis dalam kedai galeri selain galeri itu sendiri.

Taman Konservatori UPM

Taman ini menjadi tempat kepada hampir 600 spesies tumbuhan liar hasil daripada ekspedisi saintifik di seluruh negara sejak 2003.

Ia dibahagikan kepada 11 zon utama yang terdiri daripada tumbuhan aromatik, tumbuhan ubatan, ulam (herba), halia liar, periuk kera, tumbuhan akuatik, buahan hutan dan paku-pakis.

Trek pejalan kaki turut dilengkapi papan maklumat. Ini termasuk pembelajaran interaktif dengan permohonan iPad dan kemudahan Wifi percuma di taman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 10:53 AM