KEUNIKAN nasi goreng
NASI goreng rumpai laut
UMAIR menunjukkan hidangan
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my

Kebiasaannya, sajian kambing golek yang dicicah dengan sos 'black pepper' dimakan begitu saja. Namun, di Lebak Cafe, Indera Mahkota, hidangan istimewa nasi goreng kambing atau nama Koreanya 'eolin yang bokk-eumbab' yang disajikan kepada penulis nyata sesuatu yang berlainan.

Sukar menyebut dalam bahasa Korea menyebabkan pengurus restoran itu, Umair Abdul Rahman mengambil pendekatan 'Melayukan' supaya mudah disebut.

Dua lagi hidangan ialah nasi goreng Korea atau 'hargug-eo bokk-eumbab dan nasi goreng rumpai laut atau 'miyeog bokk-eumbab' turut menjadi pilihan pengunjung walaupun ada hidangan barat seperti 'mixed grill', 'lamb chop', 'chicken chop', 'fish & chip' dan kentang goreng.

"Hidangan barat disediakan di sebelah malam kerana di sebelah siang, kita ada hidangan tengah hari dan minum petang dengan menu berbeza.

"Istimewanya, nasi goreng kami menggunakan stok ayam dan 'paste' dari pada masakan ala Korea," katanya ketika ditemui di restorannya di Indera Mahkota 5, Kuantan, Pahang.

Katanya, nasi goreng kambing dijual pada harga RM8.50 sepinggan dan RM6 untuk dua jenis hidangan, bezanya hanya gabungan daging kambing dan rumpai laut saja.

"Pelanggan suka kerana kami menggunakan daging kambing golek yang dimasak selama empat jam untuk memastikannya lembut dan manis," katanya.

Lebak Cafe menawarkan dua minuman istimewa 'Sky Blue' gabungan buah markisa, air Sprite dan bebola yogurt yang akan pecah apabila dikemam manakala 'Deep Purple Mint' hasil gabungan mint dan Ribena serta buah-buahan longan dan 'nata de coco'.

"Ini minuman khas untuk mereka yang sukakan kelainan dan sangat enak diminum jika dicampur ketulan ais yang banyak," katanya.

Lebak Cafe yang beroperasi sejak lima tahun lalu turut menyediakan sarapan pagi dan hidangan tengah hari cita rasa Pahang, antaranya daging salai, ayam kampung masak lemak cili api, patin tempoyak, opor ayam dan daging, mi jawa, mi kari Singapura, rojak ayam dan nasi bubur.

"Kami merancang memperkenalkan menu baru seperti sup kambing dan masakan berasaskan udang galah," katanya.

Umair yang menguruskan restoran itu di sebelah malam tidak menganggap kewujudan beberapa restoran baru di kawasan berhampiran sebagai saingan untuknya terus beroperasi secara aktif.

Di sebelah siang, restoran berkenaan diuruskan abangnya, Suhaib, 29.

"Semua restoran mempunyai pelanggan masing-masing dan mereka berhak memilih restoran yang menyajikan hidangan pilihan. Ini adalah satu bentuk persaingan sihat dan jika ada kekurangan, kami boleh menambah baik dari semasa ke semasa.

"Tidak mudah memenangi hati pelanggan tetapi jika hidangan kita sedap, menepati selera, tidak mustahil restoran kita akan menjadi pilihan utama mereka ketika berhajat makan di luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:28 AM