PESERTA yang memenangi pertandingan.
LEBIH 10 konsol Playstation 4 disediakan.
LEBIH dua pertandingan dianjurkan sejak Januari.
TURUT menjual 'game' PS4 terkini di pasaran.
SELESA untuk anak muda 'lepak' bersama rakan-rakan.
Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Dulunya jejaka ini seorang pemain e-sukan terkenal dan kerana cinta mendalam terhadap industri itu, dia masih setia biarpun sudah hampir menjengah usia 30 tahun.

Itu prinsip Ahmad Yazid Abdul Rahman, 28, yang masih aktif dalam industri sukan elektronik dengan pendekatan berbeza.

Yazid yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun bermain Pro Evolution Soccer (PES) kini lega selepas menubuhkan NaGaming, studio e-sukan di Taman Melawati, Selangor pada Januari lalu.

Bercerita lanjut, dia bersama rakan kongsi, Mohammad Fauzi pada mulanya melihat peluang berkenaan selepas merasai pengalaman berentap dalam pertandingan PES di Vietnam, baru-baru ini.

“Sewaktu berada di sana, saya hairan mengapa pemain luar lebih berpengalaman dan bermain dengan begitu hebat sekali.

“Perasaan ingin tahu itu kuat lalu saya bertanyakan kepada mereka. Rupa-rupanya mereka mempunyai komuniti yang besar di sana dan kerap berlatih bersama ahli lain dalam pertandingan,” katanya.

Menurut Yazid, situasi sangat berlainan di Malaysia apabila anak muda lebih gemar bermain PES secara dalam talian.

“Lain daripada Malaysia, pemain di sini banyak terbabit dalam sesi permainan dalam talian.

“Itu yang membuatkan saya terpanggil untuk menubuhkan studio e-sukan dan menganjurkan pertandingan (offline) kepada anak muda tempatan.

“Dengan cara ini, kita boleh cari bakat tempatan yang mampu menyaingi atau sekurang-kurangnya berdiri setanding dengan pemain luar negara,” katanya.

RUANG UNTUK ANAK MUDA

Katanya, tujuan penubuhan NaGaming bukan saja untuk mencari bakat baru sebaliknya memberi ruang kepada anak muda ‘melepak’.

“Kita boleh lihat insiden menyayat hati yang berlaku baru-baru ini. Daripada melihat anak muda melakukan aktiviti tidak berfaedah, mereka boleh datang ke sini untuk berhibur bersama rakan.

“Ibu bapa turut meletakkan kepercayaan kerana mereka sendiri nampak di mana anak berada. Lagipun, di sini belum wujud mana-mana studio e-sukan,” katanya.

Selain menyediakan lebih 10 konsol Playstation 4 dan ‘racing’ simulator, NaGaming turut menawarkan servis penyewaan konsol dan menjual alat perkakasan elektronik serta cakera padat untuk PS4.

Terbaru, studio ini menganjurkan pertandingan PES 2017 yang terbuka kepada 48 peserta dengan hadiah wang tunai terkumpul RM1,200.

Sistem permarkahan diwujudkan dan pemenang di kedudukan tiga teratas dalam ranking akan dipilih mewakili negara bagi Kejohanan PES 2017 Asia Tenggara yang dikendalikan PES League Asia pada Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 5:01 AM