Rumah di Jalan Pintasan-Pelabuhan Kuantan yang terbakar petang tadi. FOTO ihsan bomba
Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


Kuantan: Seorang lelaki melecur 30 peratus apabila rumahnya di Jalan Pintasan-Pelabuhan Kuantan, di sini, musnah terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian 4.41 petang itu mangsa, Lee Mun Kong, 53, cedera pada badan dan tangan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, dengan bantuan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian kita mendapati mangsa yang berada seorang diri melecur akibat terkena api," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai disambar api ketika cuba menyelamatkan dokumen penting sebelum melarikan diri.

Katanya, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih mendapat rawatan di HTAA.

Anuar berkata, pihaknya mengambil masa hampir setengah jam untuk mengawal api dari merebak ke kawasan hutan.

"Kita turut mendapat bantuan daripada anggota APM yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran itu," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 9:04 PM