Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


Alor Setar: Sejumlah 90 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM6.3 juta dirampas selepas polis memberkas tiga lelaki di sekitar Kedah dan Perlis, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata rampasan adalah hasil serbuan JSJN Kedah dan Perlis dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Biro Pembanterasan Narkotik Polis Thailand (PNSB) di Padang Besar dan Changlun.

“Serbuan antara 4.50 hingga 5.15 petang, 19 Februari. Serbuan dilakukan hasil perkongsian maklumat antara JSJN Bukit Aman dan PNSB Thailand.

“Kami kemudian memintas tiga kenderaan di Changlun dan Padang Besar.

“Berdasarkan maklumat yang diberikan, kita percaya dua suspek yang memandu kenderaan berkenaan berada di Changlun manakala seorang lagi sedang berada di sekitar Padang Besar. Selepas diekori, kita berjaya menahan kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, suspek berusia 24 hingga 32 tahun yang memandu ketiga-tiga kenderaan berkenaan ditahan dan pemeriksaan selanjutnya menemui sejumlah besar.

“Bekalan dadah itu disorokkan di papan pemuka (dashboard) pada setiap kereta itu. Bekalan disyaki diperoleh dari kawasan Segitiga Emas dalam kawasan Thailand.

“Dadah ini kemudian akan dibawa untuk dieksport ke Indonesia. Kita percaya sindiket ini baru aktif tidak sampai dua minggu,” katanya.

Menurutnya, suspek direman hingga 27 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 2:18 PM
FOTO Shahrul Hafiz Zam