ANAK yang kerap dipeluk mempunyai IQ lebih baik.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Anak umpama permata hati yang begitu disayangi. Biarpun terlalu sayangkan amanah yang diberikan itu, ada kalanya ibu bapa sukar menerima kesilapan yang dilakukan si kecil.

Ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik dan sempurna sedangkan anak kecil ini masih perlu banyak belajar daripada kesilapan dilakukan.

Oleh itu, jangan cepat menghukum sebaliknya berilah sokongan dan teguran dengan cara yang betul jika anak melakukan kesilapan.

Tanpa mengira usia, si kecil memerlukan pelukan kasih sayang daripada ayah dan ibu. Jika dilihat daripada mata kasar, memang tidak nampak kesannya, tapi hakikatnya ia memberi satu kuasa magis hebat dimiliki oleh ibu dan ayah.

Percayalah, segala aura negatif, rasa kemarahan, emosi terganggu si ibu dan ayah juga boleh hilang apabila memeluk si comel kesayangan. Beberapa kesan pelukan ibu bapa kepada anak mereka. Antaranya:

1. IQ anak lebih hebat

Pelukan ialah salah satu bentuk kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan. Berikan anak pelukan setiap hari. Ada kajian yang menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

2. Meningkatkan kasih sayang

Apabila kita memeluk anak setiap hari terutama pelukan seorang ibu, anak tahu kita menyayangi mereka. Kasih sayang yang dicurahkan melalui pelukan akan terus bercambah.

3. Mengurangkan rasa tertekan

Anak akan tahu kita sentiasa menjadi penyokong paling kuat. Anak akan sedar kita sentiasa ada jika dia kurang berjaya. Emosinya akan terbela.

4. Meningkatkan keyakinan diri

Anak yang menerima pelukan ibu dan ayah akan lebih berkeyakinan dalam sebarang perkara yang ingin dilakukan.

5. Meningkatkan hormon gembira

Sama seperti orang dewasa, pelukan kasih sayang mampu meningkatkan hormon gembira dalam diri anak. Anak yang gembira akan lebih mudah belajar dan seronok melalui pengalaman baru setiap hari serta kurang meragam.

6. Menguatkan sistem imunisasi

Apabila anak tidak sihat, dia sangat perlukan pelukan kasih sayang daripada ibu dan ayah. Selain makan ubat, pelukan juga mampu menjadi ubat paling mujarab dengan izin Allah.

7. Merangsang perkembangan anak

Anak yang selalu dipeluk terutama bayi yang sedang melalui perkembangan pesat akan mudah belajar banyak perkara seperti cepat berjalan, bercakap dan bermacam kebolehan lain.

8. Mengawal emosi negatif

Biasanya anak yang cukup kasih sayang dan selalu dipeluk akan kurang meragam dan mudah mendengar cakap. Mereka juga lebih positif dan bijak menyesuaikan diri mengikut situasi.

9. Tenang

Pelukan juga boleh membantu anak berasa tenang dan selamat. Ini sekali gus membantu si kecil mendapat tidur yang mencukupi selain kurang meragam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 11:35 AM