HUAWEI P10
NOKIA 3310
NOKIA 6
HTC 11
LG G6
BLACKBERRY MERCURY
SONY XZ 2
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Pameran industri mudah alih terbesar dunia, Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) sekali lagi hadir di Barcelona, Sepanyol pada 27 Februari hingga 2 Mac ini sudah pasti mengujakan dengan pengenalan produk baru.

Jika lima tahun sebelum ini, MWC lebih dikenali sebagai acara berkaitan telekomunikasi saja, namun kali ini penganjur, Persatuan GSM (GSMA) berjaya menarik perhatian dengan pameran menyeluruh.

Kebanyakan pengeluar telefon pintar pula pantas menjadikan MWC sebagai platform memperkenalkan ‘flagship’ masing-masing.

Meskipun tanpa Samsung kali ini, kongres kali ini dikatakan terbesar dan mencatatkan sejarah tersendiri menerusi beberapa perubahan dalam dunia telekomunikasi mudah alih dan kesan besar yang dirasai semua pemain industri berkaitan.

Beberapa telefon pintar dijangka dilancarkan (gambar hasil maklumat Internet).

Huawei P10

Khabarnya, versi terbaru dengan kerjasama Leica menjadi titik penentu kepada Huawei meneruskan kecemerlangan selepas P9.

Dikatakan, versi terbaru yang dinamakan P10 bakal menguasai MWC2017 dengan skrin lengkung QHD 5.5 inci, bahan binaan aluminium dan pengimbas cap jari ditempatkan di depan.

Selain itu, kamera dengan dwi lensa diteruskan dengan penambahbaikan versi kedua Leica seperti disaksikan pada Mate 9 Pro.

Potensi RAM sebanyak 6GB juga kelihatan semakin hampir manakala prestasi telefon hebat dengan set cip Kirin 960.

Nokia 3310

Nokia yang bernaung di bawah HMD Global juga tidak kurang hebatnya mahu mengembalikan semula kegemilangan telefon perkasa, Nokia 3310 yang dikatakan beroperasi dengan OS asas Android.

Khabarnya, ia akan mengekalkan bahan binaan dan rekaan asal 3310 serta menjadi telefon asas kepada pengguna yang hanya kekal mahu menggunakannya untuk membuat panggilan dan membalas SMS.

Sebelum ini, Microsoft mengambil alih Nokia di bawah Microsoft Mobile dan kini syarikat Finland, HMD Global terbabit mahu memperkasakan semula jenama asal.

Model 3310 yang diperbaharui adalah antara empat telefon bimbit baru Nokia yang akan diperkenalkan di MWC di Barcelona dari 27 Februari hingga 2 Mac depan.

Ia dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM280. Selain 3310, Nokia dikatakan akan melancarkan model Nokia3, 5 dan 6 di MWC.

Model asal 3310 diperkenalkan pada 2000 untuk menggantikan model 3210.

HTC 11

Meskipun sudah melancarkan model U sebelum ini, masih kedengaran HTC akan memperkenalkan model HTC 11 dengan skrin QHD 5.5 inci jenis skrin-ke-skrin, bahan binaan aluminium penuh dan set cip Snapdragon 835.

Khabarnya, HTC akan memperkenalkan kamera utama 12 megapiksel selain bateri berkapasiti besar 3700mAh.

Satu lagi berita khabarnya RAM yang mahu ditingkatkan sehingga 8GB namun kemungkinan terbabit akan tipis.

HTC 11 bakal datang dengan storan 256GB selain ‘Sense Touch’ yang membolehkan operasi telefon dengan fungsi sentuh atau ketuk perlahan pada bucunya.

LG G6

Dalam gambar yang bocor di Internet, LG G6 memperlihatkan komponen seperti USB C dan port audio 3.5mm di bawah serta atas telefon terbabit.

Selain itu, ia menampakkan bahagian belakang telefon dengan menempatkan dua kamera, lampu flash dan pengimbas cap jari.

Berbanding LG G5, bahagian bawah menyaksikan pembesar suara dan mikrofon bertukar kedudukan selain kelihatan jalur antena.

Sementara itu pada bahagian belakang, permukaan aluminium berkilat menampakkan kemasan dengan pengimbas cap jari telefon yang turut bertindak sebagai butang kuasa.

Pada sudut spesifikasi, ia bakal menggunakan cip Snapdragon 821, panel paparan beresolusi QHD 5.7 inci dan kalis air jenis IP68

Blackberry Mercury

Telefon kelas pertengahan ini bakal menjengah MWC 2017 bersama spesifikasi ringkas Snapdragon 625 dan RAM 3GB.

Sudah lama cakap-cakap mengenai Mercury kedengaran dalam industri dengan beberapa foto juga terdedah di Internet.

Ia akan menggunakan OS Android sama seperti Priv manakala aplikasi Blackberry dijangka kekal dimuatkan.

Syarikat yang mengambil alih jenama Blackberry, The Creative Life (TCL) sudahpun meneruskan jenama telefon Blackberry sejak Disember tahun lalu dengan dua model sudahpun dilancarkan seperti DTEK50 dan DTEK 60.

Sony XZ 2

Hajat Sony nampak besar dengan MWC kali ini apabila bersedia melancarkan lima model baru antaranya Xperia XZ 2 dan X2.

Meskipun XZ baru saja dilancarkan, Sony akan meneruskan dengan model kedua sama seperti yang disaksikan pada Xperia X dan XA yang dilancarkan pada jarak tarikh dekat antara satu sama lain.

Telefon flagship Sony dikhabarkan akan menggunakan skrin 4K 5.5 inci dengan set cip Snapdragon 835 serta RAM 4GB atau 6GB.

Ada juga telefon yang dilancarkan lengkap dengan skrin 5.2 inci 1080p, RAM 4GB, storan 64GB dan kamera 23 megapiksel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 10:57 AM