POPULAR di laman sosial soal kedua bagi Ramona.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Sebagai artis yang tidak ‘gila’ memuat naik gambar dan aktiviti harian di laman sosial, pelakon Ramona Zamzam, 27, akui kurang dikenali di alam maya.

Malah, jumlah pengikut yang tidak banyak di laman sosial sedikit pun tidak membuatkan dia gusar kerana apa yang penting tawaran berlakon masih diterima hingga ke hari ini.

“Saya selesa dengan apa yang saya lakukan sekarang. Saya bermula dari bawah dan menerima tawaran berlakon daripada watak kecil sehinggalah diberi watak utama.

“Saya tidak kisah pengikut yang tidak ramai kerana sasaran untuk orang lebih menghargai dan menilai bakat lakonan.

“Andai ada yang tidak mengikuti saya di laman sosial, saya tidak ada masalah kerana selesa dengan keadaan itu,” katanya.

Bagi anak sulung daripada dua beradik ini, kehadiran ramai pelakon baru juga tidak mengubah pendiriannya kerana dia yakin setiap orang mampu menilai bakat seseorang pelakon.

Mungkin juga kerana sudah tidak berlakon di TV menyebabkan orang berfikir dia sudah lama tidak muncul di khalayak ramai.

“Walaupun seperti menyepi, saya bersyukur tawaran berlakon masih diterima sehingga ke hari ini. Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri untuk RTM.

“Selain itu, saya juga turut terbabit dalam program Perang Bibir yang akan ditayangkan di TV9. Pada saya popular di laman sosial perkara kedua yang penting rezeki dalam berlakon masih diterima,” katanya.

Tangguh hasrat miliki anak

Berkongsi mengenai kisah peribadinya, Ramona yang berkahwin hampir dua tahun dengan seorang lelaki Palestin, Rami Alashkar berkata, dia bahagia walaupun belum memiliki cahaya mata.

“Syukur saya mempunyai suami yang sangat memahami minat terhadap lakonan. Walaupun sudah lama berkahwin kami tiada masalah.

“Ini kerana bagi saya sekarang adalah waktu bulan madu kami untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama. Sebelum ini lebih banyak melakukan aktiviti dengan kawan.

“Kalau diikutkan perancangan untuk memiliki anak pada tahun ini, tetapi disebabkan saya dan suami dalam proses mendapatkan lesen selam skuba, hasrat itu terpaksa dilupakan dulu,” katanya.

Ramona berkata, jika tiada halangan lesen itu akan diperolehnya bulan depan dan selepas itu barulah mereka bersedia menyambut cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:02 AM