Buaya yang pernah ditangkap di Sungai Teniku, Miri, pada 2015. - Foto Fail (JPAM)
Bernama:

Miri: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun disambar seekor buaya ketika sedang mandi di sungai berdekatan Rumah Panjang Japang, Sungai Tapang Peking Baram, Marudi, hari ini.

Ketua Polis Marudi Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, Agnes Luang yang sedang menunggu keputusan SPM sedang mandi bersama ibunya di tebing sungai apabila tiba-tiba disambar buaya pada 6.30 petang.

“Balai Polis Marudi menerima panggilan pada 7.15 malam dan pasukan operasi mencari dan menyelamatkan sudah bergerak ke lokasi kejadian," katanya yang dihubungi malam ini.

Gabriel berkata, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada pasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Marudi, Balai Polis Long Lama dan Bomba Marudi.

Sebagai rekod, jarak perjalanan dari pekan Marudi ke lokasi kejadian ialah dua jam menggunakan sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 11:24 PM