Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my

Subang Jaya: “Kami ingat dia perempuan sebab lengkap berbaju kurung dan bertudung. Namun apabila diperiksa kad pengenalan, lelaki rupanya,” kata seorang saksi berhubung penangkapan pemuda berpakaian wanita yang ditahan ketika mencuri di surau sebuah pusat beli-belah di Sunway, di sini, Sabtu lalu.

Menurut saksi yang enggan dikenali itu, lelaki terbabit ditahan pada jam 8 malam selepas seorang pelajar perempuan membuat aduan dompetnya dicuri.

Menurutnya, dompet terbabit dipercayai dicuri oleh ‘wanita’ terbabit yang kebetulan berada di sebelahnya ketika kejadian.

“Saya yang turut mengikuti beberapa pengawal keselamatan di sana kemudian segera menahan individu terbabit.

“Apabila ditahan, pada awalnya kami ingat wanita kerana lengkap berbaju kurung dan tudung. Namun apabila pemeriksaan dilakukan dia rupa-rupanya lelaki,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum mangsa kes curi itu membuat laporan di Balai Polis Bandar Sunway.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas pengawal keselamatan pusat beli-belah menerima laporan daripada seorang pelajar berusia 19 tahun.

Menurut Mohammad Azlin, suspek berjaya ditahan beberapa minit kemudiannya dan antara barang ditemui adalah sebuah beg dompet berjenama, wang tunai berjumlah RM408 dan telefon pintar jenama Samsung.

“Siasatan mendapati suspek baru keluar dari penjara Kajang selama 11 hari dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan curi.

“Suspek kini ditahan reman hingga Rabu,” katanya.

Dalam perkembangan lain sumber polis memaklumkan suspek adalah individu yang sama ditahan 8 Oktober 2015 lalu atas kesalahan sama.

Suspek ketika itu ditahan di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, lengkap bercelak selain memakai purdah seperti pelancong wanita Asia Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:49 PM
Lelaki yang menyamar wanita berbaju kurung dan bertudung. FOTO ihsan pembaca