BERNAMA

Kuala Lumpur: Empat lelaki termasuk seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bagi pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penganggur warga Bangladesh.

Lans Koperal Mohd Syakiran Shaari, 25, dua pemandu van keselamatan, Sharull Salleh, 32, dan Mohd Fahmi Azman, 29, serta peniaga baju Muhammad Irqbalshah Mhd Jantan, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Azizur Rahman Samsul Huda, 24, dan mengambil wang RM820 di Jalan 7/23E, Taman Danau Kota Setapak, Wangsa Maju di sini, pada 6.30 pagi, 13 November 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff tidak menawarkan ikat jamin.

Bagaimanapun, peguam Nur Fadhilah Zahari, yang mewakili Mohd Syakiran dan Muhammad Irqbalshah, serta dua tertuduh lain yang tidak diwakili peguam memohon diberi jaminan dengan alasan mereka penanggung keluarga.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 6:18 PM