KEADAAN motosikal mangsa yang terperosok di bawah treler. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang treler di Batu 7, Jalan Tuaran berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk Inanam di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.40 pagi itu, Abdul Harris Apasain, 41, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu terperosok di bawah treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketika kejadian treler dari pekan Inanam menghala ke pusingan U di Jalan Tuaran berdekatan SK Lok Yuk Inanam.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, treler membuat pusingan U. Tiba-tiba penunggang motosikal yang datang dari arah pekan Inanam menuju ke pekan Inanam terlanggar bahagian belakang sebelah kiri treler berkenaan.

"Akibat daripada kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan motosikal mangsa turut mengalami kerosakan akibat terperosok di bawah treler terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Chandra, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu treler ketika membuat pusingan U Kerana gagal memastikan laluan selamat di jalan utama sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) unt urusan bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 1:30 PM