EBELING (dua kanan) wira KLHC.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berjaya menyekat penguasaan Terengganu Hockey Team (THT) selama tiga tahun berturut-turut apabila merampas kejuaraan Liga Perdana dalam Liga Hoki Malaysia TNB apabila menang 3-2 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Kuala Lumpur, malam tadi.

Pemain import dari Jerman, Anton Poul Fritz Ebeling muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan hanya beberapa saat sebelum siren penamat.

Menurut jurulatih KLHC, Harun Al-Rashid Samri, walaupun pasukannya berjaya merampas kembali kejuaraan liga namun beliau tetap mengakui kekuatan THT.

“THT pasukan yang kuat tapi kami sudah bersedia untuk aksi terakhir liga ini dan saya cuba bangkitkan semangat serta keyakinan pasukan,” katanya.

KLHC tidak menunggu lama untuk memperoleh jaringan apabila Dedi Aryadi Jumaidi berjaya menjaringkan gol pada minit ketujuh melalui jaringan padang berikutan serangan sulung mereka.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Sarjit Singh berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil pukulan sudut penalti kencang pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun.

Bersambung babak kedua, KLHC hampir menambah jaringan pada minit kedua hasil permainan satu dua menarik Dedi Aryadi namun percubaan Harvinder Singh pada minit ke-35 diselamatkan penjaga gol, Hafizuddin Othman.

Pada minit ke-43 KLHC berjaya memperoleh gol kedua hasil jaringan padang Nabil Fiqri Mohd Noor selepas berlaku keadaan kelam-kabut di depan pintu gol THT.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil meledak gol penyamaan buat THT pada minit ke-51 hasil gerakan pukulan sudut penalti namun Fritz Ebeling muncul tepat pada masanya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir.

Sementara itu Universiti Kuala Lumpur mengesahkan tempat ketiga dalam saingan liga musim ini selepas mengalahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1-0.

Keempat-empat pasukan itu layak beraksi pada Piala TNB, bermula Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 9:11 AM