AFP

Madrid: Gareth Bale (gambar) mencetuskan impak segera sebaik kembali daripada kecederaan ketika Real Madrid melebarkan penguasaan mereka di puncak La Liga dengan tiga mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Espanyol, kelmarin.

Bale hanya beraksi selama 13 minit selepas berehat tiga bulan berikutan kecederaan ligamen buku lali apabila meledak gol tujuh minit sebelum tamat untuk melengkapkan serangan balas pantas Real.

Alvaro Morata membuka jaringan dengan merembat bola hantaran Isco 12 minit sebelum rehat.

Sementara itu Sevilla memintas Barcelona yang akan menyambut kedatangan Leganes ke tangga kedua hasil kemenangan 2-0 ke atas Eibar.

“Saya gembira berada di padang. Menjaringkan gol satu bonus tambahan dan saya berterima kasih kepada pasukan dan berjaya memenangi perlawanan ini,” kata Bale.

“Saya melalui detik yang sukar tapi apabila anda menerima sambutan seperti itu, semuanya menjadi begitu bermakna.”

Pengurus Madrid Zinedine Zidane membuat tujuh pertukaran terhadap pasukan yang beraksi pada pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Napoli selain perlu mempertimbangkan aksi La Liga ke Valencia dan Villarreal minggu depan.

Morata adalah antara pemain yang diberi peluang untuk menyertai kesebelasan utama ketika Karim Benzema tidak menyertai skuad itu.

Pemain Sepanyol itu tidak menyertai kesebelasan utama Real dalam lima perlawanan liga sebelum ini tetapi mengharapkan lebih banyak peluang diberikan selepas meledak hantaran Isco untuk gol ke-11 miliknya musim ini.

Kepulangan Bale yang dinanti selepas cedera ligamen buku lali di Sporting Lisbon 22 November lalu bermula dengan aksi 20 minit sebelum tamat apabila menggantikan Morata.

Bintang Wales itu segera menunjukkan aksi yang dirindukan peminat apabila Isco mengumpan bola untuk disudahkan Bale.

“Kami hanya ada seorang Gareth Bale,” kata Zidane.

“Kami gembira melihat Gareth kembali ke pasukan ini. Dia pemain istimewa, memberikan sesuatu yang istimewa berbanding pemain lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 9:06 AM