ISREAL Buhari yang maut selepas terminum minyak tanah yang diberi ibunya. - Agensi
Agensi

Benin (Nigeria): Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan maut selepas ibunya tersilap memberi mangsa minum minyak tanah yang disangkanya air.

Dalam kejadian pada minggu lalu itu, Isreal Buhari meninggal dunia tidak lama selepas meminum minyak tanah yang diberi ibunya.

Menurut laporan media tempatan, Buhari pada mulanya mengadu haus kepada ibunya yang bekerja sebagai penjual minyak tanah.

Wanita itu kemudian mengambil satu tin minuman dan terus diberikan kepada anaknya tanpa menyedari bekas itu sebenarnya mengandungi minyak tanah.

Kanak-kanak itu meneguk cecair di dalam tin minuman berkenaan dan terus muntah.

Selang beberapa saat, badan kanak-kanak itu mula kejang dan dia menjerit-jerit kesakitan.

Apabila menyedari anaknya meminum minyak tanah, wanita itu segera meminta bantuan jirannya yang kemudian memberi kanak-kanak itu minum minyak kelapa sawit sebelum dibawa ke hospital.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ibu mangsa memberitahu polis dia terlupa tin minuman berkenaan yang diberi kepada anaknya sebenarnya mengandungi minyak tanah.

Bapa mangsa juga merayu kepada pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan terhadap isterinya kerana keluarga mereka miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 9:04 AM