GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bukit Mertajam: Empat lelaki yang baru memecah masuk kedai motosikal ditahan polis ketika mereka cuba melarikan komponen kenderaan di dalam premis perniagaan di Taman Indah itu, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pemilik kedai itu yang kebetulan ke premis perniagaannya 2.15 pagi melihat motosikal dan kereta berada di hadapan kedai dengan pintu gelongsor besi terbuka.

"Lelaki itu yang bimbang kedainya dirompak bertindak menghubungi polis sebelum sepasukan anggota datang dan mendapati terdapat tiga lelaki dalam kerata dan seorang lagi di dalam kedai berkenaan yang hendak mencuri barangan di situ," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada empat lelaki yang ditahan itu adalah bekas pekerja di kedai motosikal berkenaan dan suspek dipecat dua minggu lalu kerana masalah disiplin.

Katanya siasatan awal mendapati tiga lelaki itu sedang menunggu rakan mereka mencuri komponen motosikal di dalam kedai berkenaan dan mereka tidak menyedari kehadiran polis.

"Mereka dipercayai bertindak sedemikian kerana ingin membalas dendam selepas bekas pekerja tersebut dipecat dari kedai itu dan semasa polis sampai suspek belum sempat melarikan apa-apa," katanya.

Nik Ros Azhan berkata bekas pekerja itu berjaya membuka pintu kedai berkenaan kerana memiliki kunci yang diberikan majikan ketika dia bekerja di situ.

Katanya siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan seorang daripada suspek adalah kenderaan curi dan empat lelaki itu yang berusia 24 hingga 31 tahun kini direman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:07 PM