PEJUANG Hashed al-Shaabi bertahan di barisan hadapan berhampiran Ayn al-Hisan di barat Mosul semalam sebagai persediaan menawan bandar itu daripada Daish. - AFP
AFP

Raqqa: Pemimpin kumpulan Daish mula melarikan diri dari kubu kuat mereka di Raqqa, Syria selepas askar kerajaan yang dibantu pejuang Kurdis dan tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) mula mengepung bandar berkenaan, kata Pentagon kelmarin.

“Kami mula melihat ramai pemimpin kanan Daish dan ramai birokrat mereka memulakan proses meninggalkan Raqqa.

“Mereka mungkin sudah menyedari bahawa pengakhiran penguasaan mereka di Raqqa semakin hampir,” kata jurucakap Pentagon, Jeff Davis.

Ujarnya, pengunduran yang dibuat itu dilihat sangat tersusun dan teratur.

Selepas beberapa kekalahan besar di Iraq dan Syria, kubu kuat Daish di Mosul dan Raqqa kini diserang tentera kerajaan yang disokong askar bersekutu.

Selepas kempen besar-besaran selama empat bulan, tentera Iraq kini mengetatkan kepungan di Mosul sementara itu di Syria pejuang Arab-Kurdis dan tentera Syria mara menutup semua laluan ke Raqqa.

Davis memberitahu, objektif itu hampir selesai dengan kumpulan Daish kini hanya menguasai satu jalan raya di tenggara Raqqa.

Jalan raya di utara kini dihalang tentera Syria manakala satu jambatan melintasi sungai al-Furat sudah dimusnahkan.

Ketika misi mengepung Raqqa semakin berjaya, tentera Syria dan tentera pakatan mula merangka pelan untuk menawan semula bandar itu.

Tentera pakatan yang diketuai AS melancarkan serangan udara di Raqqa sejak beberapa bulan lalu.

Pada Khamis lalu sahaja, 17 serangan udara dilancarkan berhampiran bandar itu menyasarkan dua kawasan latihan Daish dan unit perang militan itu.

Sementara itu di Mosul, tentera AS memberitahu, satu serangan udara kelmarin memusnahkan sebuah bangunan di kompleks perubatan yang disyaki dijadikan pusat kawalan Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 8:51 AM