PESERTA bergambar bersama penerima sumbangan.
BERGAMBAR dengan latar belakang Kuala Sungai Muar.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Usaha Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) menyantuni golongan asnaf diteruskan apabila seramai 30 peserta menyertai Kayuhan Wakaf Prihatin yang diadakan di mukim Kesang, Tangkak, Johor baru-baru ini.

Mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Daerah Tangkak, kayuhan amal itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YWM Datuk Dr Sudin Haron yang turut berkayuh sejauh 42 kilometer (km).

Ibarat menyelam sambil minum air, kayuhan amal itu mampu menyihatkan rohani dan jasmani.

Selain mengeluarkan peluh, kesempatan menyantuni golongan asnaf membolehkan peserta menyelami perasaan insan memerlukan bantuan seterusnya memupuk sikap prihatin dalam diri dan mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat.

Dilepaskan oleh Penghulu Mukim Kesang, Ab Majid Mistam tepat jam 8 pagi, peserta meredah kedinginan pagi melewati lima kampung. Hala tuju mereka yang pertama adalah ke Kampung Tanjung Gading Timur yang terletak kira-kira 20km.

Di destinasi pertama itu, sebanyak 20 pek sumbangan makanan kering diedarkan kepada 20 asnaf sebelum menyambung kayuhan ke destinasi kedua iaitu Kampung Tanjung Agas.

Selepas kira-kira 8km berkayuh sambil menyaksikan pemandangan indah serta mendamaikan di tebing Sungai Muar, peserta sampai ke destinasi untuk menyerahkan 20 pek sumbangan kepada golongan asnaf.

Di situ, peserta serta petugas mengambil kesempatan mengisi perut dan ‘mengecas’ semula tenaga selepas berkayuh lebih 20km sebelum meneruskan kayuhan mereka ke dua lagi destinasi iaitu Kampung Parit Bunga dan Kampung Tanjung Gading Barat.

Sebaik tiba di dua lokasi itu, 40 pek sumbangan diedarkan sebelum peserta berpatah semula ke Kampung Kesang yang menjadi destinasi akhir untuk menyampaikan 20 lagi pek sumbangan kepada asnaf.

Menariknya, setiap kali berhenti, bilangan peserta bertambah apabila penduduk setempat turut mengikuti kayuhan itu sebagai tanda sokongan sebelum tamat jam 12.30 tengah hari.

Dr Sudin berkata, kayuhan di Kesang adalah aktiviti pertama YWM bagi tahun 2017 dalam usaha menyantuni golongan asnaf.

Katanya, pendekatan berkayuh dan berbasikal digunakan berikutan ia kaedah terbaik untuk beriadah sambil beramal.

“Harapan kita menerusi misi kayuhan amal sebegini adalah agar peserta serta golongan sasaran sama-sama dapat membentuk rohani dan jasmani yang sihat.

“Hanya menerusi cara ini, kita dapat membentuk komuniti yang prihatin antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Dr Sudin, aktiviti kayuhan amal itu juga lebih berkesan dalam memberi kesedaran amalan berwakaf kepada setiap lapisan masyarakat.

“Harapan besar kita sebenarnya adalah supaya masyarakat tempatan sendiri lebih prihatin dengan golongan asnaf di kawasan mereka.

“Sebabnya sumbangan yang kita hulurkan ini tidaklah seberapa dan hanya bersifat sementara. Paling utama penganjuran aktiviti ini diharap dapat menyedarkan penduduk setempat bahawa ada insan yang memerlukan bantuan di tempat mereka,” katanya.

Melalui kayuhan berkenaan, sebanyak 100 asnaf yang dikenal pasti oleh ketua kampung masing-masing selain disahkan oleh MAIJ menerima sumbangan pek makanan kering.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:02 AM