Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Dua bas skuad Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang di kawasan letak kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) No 5, Sungai Senam, di sini, dibaling cat, awal pagi ini.

Kejadian terbabit disedari anggota FRU yang membuat rondaan di kawasan terbabit, pada kira-kir 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata siasatan awal mendapati ketika anggota membuat rondaan dia terdengar bunyi di kawasan letak bas milik Johor DT.

"Anggota berkenaan bergegas ke kawasan bas itu dan terlihat kelibat dua lelaki di luar pagar.

“Kedua-dua terbabit kemudian melarikan diri menaiki motosikal yang nombor pendaftatannya tidak dapat dikenalpasti.

"Selepas membuat pemeriksaan didapati kedua-dua bas dibaling dengan cat di bahagian belakang kenderaan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota terbabit kemudian membuat laporan polis, pada 4.15 pagi.

“Pemeriksaan polis di tempat kejadian menjumpai beg plastik yang sudah pecah dan mengandungi cat atas tanah selain cat di bahagian belakang bas.

"Cat hanya terkena pada bahagian belakang kedua-dua bas dan polis percaya suspek membaling cat dari luar pagar serta seberang sungai ke arah bas yang terletak dalam kawasan berkenaan dengan jarak tempat suspek membaling cat ke bas kira-kira 25 hingga 30 meter," katanya.

Chang Keong berkata, pihaknya masih menjalankan sisatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 4:24 PM