FOTO Bernama
BERNAMA
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jenazah Che Tom Yahaya, 82, ibu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, di sini, kira-kira 11 pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Damansara, pukul 2.14 pagi ini, akibat serangan angin ahmar.

Azmin berkata, ibunya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital, pada 10 Oktober tahun lalu, apabila mengalami serangan angin ahmar buat kali pertama.

“Pada Sabtu lalu, arwah diserang angin ahmar kali kedua, kali ini serangan itu agak serius dan kritikal.

“Arwah ada rekod sakit jantung dan menjalani rawatan berkala di IJN (Institut Jantung Negara) tetapi tidak serius sehingga diserang angin ahmar,” katanya selepas urusan pengebumian ibunya.

Katanya, majlis tahlil akan diadakan di kediamannya malam ini selepas solat Isyak.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menziarah dan menunaikan solat jenazah.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 2:29 PM