Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Umat Islam membanjiri Padang Merbok, di sini, sebagai tanda sokongan terhadap pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355).

Program dijadualkan bermula kira-kira 2 petang dan dijangka berakhir pada kira-kira 11 malam.

Tinjauan mendapati peserta perhimpunan memakai baju berwarna ungu tertera tulisan 'H355' membawa maksud Himpunan 355 serta 'Sokong RUU 355'.

Selain itu, beberapa khemah menjual minuman, makanan dan pakaian sibuk dengan persiapan menerima jangkaan kunjungan 200,000 peserta sepanjang perhimpunan hari ini.

Ketika ini, suasana perhimpunan aman dan walaupun cuaca panas terik, ia tidak menghalang orang ramai mencari kawasan teduh untuk terus sabar menunggu acara bermula.

Pasukan petugas sukarelawan turut dilihat mengadakan taklimat untuk membahagikan tugas masing masing selain ujian pembesar suara dilakukan di pentas utama.

Perhimpunan bertemakan 'Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera' ini diadakan sebagai usaha menyokong pindaan RUU 355 yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang di Dewan Rakyat, 24 November tahun lalu, dan akan dibaca buat kali kedua di Parlimen, Mac depan.

Abdul Hadi membentangkan usul persendirian itu untuk kali pertama pada 26 Mei lalu.

Antara lain bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut Islam dalam hal kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 11:48 AM