FOTO Norasikin Daineh
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Tawau: Polis menahan lelaki dipercayai mengedar dadah jenis syabu kira-kira lima kilogram di pintu ketibaan Lapangan Terbang Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata lelaki 46 tahun itu dipercayai baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur, pada 10.45 pagi semalam.

"Berdasarkan maklumat awam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tahan yang membawa satu beg bersama beg silang dibadannya di balai ketibaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua kotak yang disembunyikan di pakaian dalam beg bagasinya.

"Hasil pemeriksaan dalam kedua-dua kotak terdapat lima bungkus kertas timah yang didalamnya ada bungkusan teh Cina bertulisan 'Guangyinwang' dan mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Fadil berkata, pemeriksaan lanjut menemui dadah bernilai RM350,000 dan pemeriksaan air kencing suspek turut didapati positif dadah.

"Suspek direman dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 10:18 AM