SUKARELAWAN Pakistan memeriksa mayat suspek militan yang terbunuh dalam serbuan ke atas tempat persembunyian mereka oleh pasukan keselamatan negara itu selepas serangan berani mati di sebuah makam ahli sufi di Sehwan, wilayah Sindh meragut 88 nyawa. - AFP
AP

Sehwan (Pakistan): Tentera Pakistan membunuh dan menangkap puluhan suspek dalam beberapa serbuan selepas 88 orang terbunuh dalam satu serangan berani mati oleh anggota Daish di sebuah makam ahli Sufi di sini, kelmarin.

Serangan yang dianggap paling buruk di Pakistan sejak beberapa tahun lalu itu mengejutkan rakyatnya dan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pihak berkuasa mengekang kumpulan militan walaupun sudah melakukan operasi menyasarkan tempat persembunyian mereka.

Ia juga mengancam hubungan antara Pakistan dan Afghanistan. Islamabad menyelar Kabul dengan mendakwa dalang serangan itu merancang keganasan berkenaan di seberang sempadan dan bersembunyi di Afghanistan.

Sementara itu, serbuan di seluruh Pakistan yang menyasarkan tempat persembunyian militan melihat beberapa pertempuran meletus, menyebabkan sekurang-kurangnya 39 suspek mati, kata pegawai keselamatan yang enggan dikenali.

Kebanyakan operasi dilancarkan kumpulan paramilitari. Dalam satu serbuan, 11 suspek ditembak mati di satu tempat persembunyian di Karachi.

Dalam operasi lain, pasukan separa tentera itu diserang ketika pulang dari
Sehwan - bandar di selatan wilayah Sindh - tempat pengeboman di makam itu berlaku dan membunuh tujuh penyerang.

Dalam serangan lewat Khamis itu, pengebom berani mati masuk ke ruang utama makam Lal Shahbaz Qalandar dan meletupkan dirinya ketika berada di tengah orang ramai, menyebabkan 75 orang maut.

Sekurang-kurangnya 20 wanita dan sembilan kanak-kanak antara yang terbunuh manakala puluhan yang lain cedera.

Semalam, pihak berkuasa mengumumkan, jumlah korban meningkat kepada 88.

Daish mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu menerusi kenyataan yang disiarkan agensi beritanya, Aamaq dengan berkata, ia menyasarkan ‘perhimpunan penganut Syiah.’

Saksi, Raja Somro memberitahu rangkaian televisyen tempatan, kejadian berlaku ketika orang ramai melakukan tarian kerohanian ‘dhamal.’

“Saya melihat mayat bergelimpangan. Saya nampak mayat wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Perdana Menteri Nawaz Sharif berjanji pasukan keselamatan akan menjejaki mereka yang bertanggungjawab, lapor televisyen kebangsaan Pakistan.

Serangan itu adalah yang paling buruk di Pakistan selepas kejadian pada 16 Disember 2014 di sebuah sekolah yang dikendalikan tentera di Peshawar meragut 154 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 9:59 AM