KEADAAN Proton Wira dipandu mangsa yang remuk. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


Dungun: Lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh treler dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 73.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Kampung Tanjung Pagar, di sini, 1.30 tengah hari tadi.

Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 50-an terbabit yang masih belum dikenal pasti identitinya, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang memandu Proton Wira memakai baju Melayu dan sarung dipercayai dalam perjalanan menuju masjid berdekatan untuk solat Jumaat.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Dungun ke Kuala Terengganu memasuki laluan kanan jalan sebelum dirempuh treler yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan Proton Wira terbabit terpusing sebelum dirempuh pula Perodua Myvi dari belakang kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Dungun, Amri Mohamad berkata, sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba Dungun tiba bersama sebuah jentera tiba lima minit selepas kejadian.

"Anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengelaurkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun bagi tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:26 PM