Rosli (tengah) bersama pegawai menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di pejabat JKDM Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM422,000 membabitkan cukai berjumlah RM4.7 juta dalam dua rampasan berasingan, minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Rosli Mohamad berkata, dalam serbuan di Pulau Tongkang, di sini, Jumaat lalu, pihaknya berjaya merampas 30,600 karton rokok dengan nilai rampasan RM317,000 dan jumlah cukai RM3,580,832.

Katanya, pihaknya juga turut merampas tiga bot yang digunakan penyeludup.

"Ketika serbuan dilakukan, anggota penguat kuasa mendapati sebahagian besar rokok masih berada di dalam tiga bot itu yang ditutupi dengan kanvas dan sebahagian lagi berada di atas tebing pulau.

"Bagaimanapun tidak ada tangkapan dan kita percaya pulau terbabit dijadikan transit sebelum mengedarkan ke pasaran sekitar pantai timur," katanya dalam sidang media di pejabat JKDM Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor, di sini, tadi.

Beliau berkata, kes kedua pada Rabu lalu, pihaknya berjaya menahan tiga van jenis Toyota Hiace di kawasan Rehat dan Rawat Ajil, Terengganu.

"Pemandu kenderaan melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati sejumlah 10,500 karton rokok ASTRO dengan nilai rampasan RM105,000 dan nilai cukai RM1,186,080.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 2:44 PM