HAZIQ (kanan) tekad lakar kemenangan pertama ke atas TNB.

Kuala Lumpur: Penyerang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) Mohd Haziq Samsul menyifatkan tiga perlawanan terakhir Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia cukup penting untuknya serta rakan sepasukan dalam usaha memenangi kejuaraan liga buat kali pertama selepas kali terakhir melakukannya pada 2013.

KLHC kini menduduki tangga teratas liga dengan 29 mata selepas 11 perlawanan, tetapi juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) mengekori rapat apabila hanya ketinggalan dua mata.

Namun ranjau dilalui mereka pada tiga perlawanan terakhir cukup getir apabila akan bertemu empat pasukan teratas liga bermula TNB, hari ini diikuti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan THT.

“Kami tidak boleh mencicirkan mata pada baki tiga perlawanan selepas ini kerana semua perlawanan itu sangat penting.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kami akan menghadapi satu demi satu perlawanan terlebih dulu dengan aksi terakhir bertemu THT dijangka menjadi penentu kejuaraan liga.

“Misi pertama adalah cuba meraih tiga mata penuh apabila bertemu TNB esok (hari ini),” katanya.

Jelas Haziq, kehadiran semula Muhammad Razie Abdul Rahim serta Nabil Fiqri Mohd Noor yang sudah menamatkan Kursus Latihan Asas Inspektor Polis nyata memberi impak cukup besar.

“Kami kini bertambah yakin dengan kehadiran mereka untuk mengharungi baki saingan musim ini,” katanya.

THT pula pasti turut mahu meraih tiga mata penuh apabila melayan kunjungan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 9:34 AM