GAMBAR hiasan, Masjid Al-Omeri di Lod, Israel, sebuah bandar yang didiami masyarakat Arab dan Yahudi. - Agensi

Baitulmaqdis: Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Parlimen Israel semalam meluluskan deraf baru rang undang-undang muazin yang melarang masjid menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan dengan menganggapnya sebagai pencemaran bunyi.

Deraf itu perlu diundi di Parlimen dalam tiga pembentangan sebelum ia boleh ditandatangani untuk menjadi undang-undang.

Menurut sumber media Israel, rang undang-undang muazin itu melarang penggunaan pembesar suara untuk azan di Baitulmaqdis yang dijajah rejim itu dan juga di Israel.

Penduduk Yahudi mendakwa azan dari masjid, khususnya pada awal pagi, mengganggu waktu tidur mereka.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyokong rang undang-undang itu dengan mendakwa kononnya penduduk semua agama mengadu mereka terganggu dengan azan itu.

Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, Yousif Idais berkata, rang undang-undang itu bertujuan menjadikan konflik Israel-Palestin beralih kepada konflik agama.

Pengerusi Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas mengecam rang undang-undang itu dengan berkata, ia akan ‘menarik seluruh rantau itu ke arah bencana’. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:15 AM