Adam Salleh

Ikutkan tidak terfikir mahu menonton Kung Fu Yoga. Bukan tidak minat Datuk Jackie Chan, sebaliknya ketika melilau di pawagam Sunway Putra, ada filem lain menjadi pilihan. Namun terpandang nama asing tersenarai di barisan pelakon merangsang minat penulis untuk menonton filem terbaru arahan Stanley Tong itu. Nama dimaksudkan itu adalah Aarif Rahman.

Siapakah Aarif Rahman? Pada mulanya menyangkakan Aarif salah seorang pelakon Hindi yang turut membintangi Kung Fu Yoga, ternyata telahan itu silap. Aarif adalah aktor muda sedang ‘naik daun’ kelahiran Hong Kong dan cukup popular di China. Raut wajahnya persis bintang K-Pop. Katakanlah nama Aarif Rahman ini sudah dipopularkan oleh wartawan hiburan tanah air seperti glamornya Fattah Amin, tidak perlulah terpinga-pinga meneka Aarif itu siapa? Setakat ini wartawan dan bloger Indonesia lebih kerap menulis perihal Aarif Rahman sejak 2011.

Dilahirkan pada 26 Februari 1987, Aarif mempunyai darah kacukan Melayu di pihak ayahnya dan Arab dan Cina sebelah ibunya. Sinonim dengan jolokan ‘Young Bruce Lee’ impak filem dibintanginya Bruce Lee, My Brother pada 2010, nama komersial Aarif adakala dicatat Aarif Lee dan peminat tempatan yang menonton filem klasik Cina barangkali tidak menyedari nama Aarif Rahman dalam Mandarin dicatat Li Zhi Ting. Menyedari diri sudah ada tarikan komersial, barangkali Aarif mahukan nama originalnya diguna pakai bukan lagi Aarif Lee atau Li Zhi Ting.

Siapa tahu suatu hari nanti ada produser berminat menawarkan Aarif Rahman berlakon filem tanah air kerana kita sendiri maklum filem Cina tempatan juga mampu meraih kutipan jutaan ringgit seperti The Journey. Bagi peminat filem lakonan Jackie Chan, elemen aksi dan humor sememangnya menjadi inti patinya sekian lama, namun mesej istimewa mahu diterjemahkan dalam filem Kung Fu Yoga itu jelas apabila dua ketamadunan hebat dunia, China dan India digabungkan. Judulnya sudah dipaterikan dan kita sendiri maklum Kung Fu itu China, Yoga itu India.

Selain Jackie Chan dan Aarif Rahman, filem yang menelan kos penerbitan AS$69.5 juta turut dibintangi artis hebat India dan China seperti Zhang Yixing, Sonu Sood, Miya Muqi dan Disha Patani. Tidak pernah kita melihat Jackie Chan mahu menari tarian India ala Bollywood, nyata sekali Kung Fu Yoga akan membuatkan Jackie Chan lebih diminati oleh masyarakat India.

Ramuan komersial dalam Kung Fu Yoga boleh dikutip apabila mengukur faktor usia Jackie Chan yang mencecah usia 62 tahun pada 7 April nanti masih mampu menerajui watak utama.

Usia lebih setengah abad begitu, usah mimpilah aktor kita diberi watak hero paling ‘koman’ pun menjadi datuk. Jauh berbeza dengan perfileman China bahkan Kollywood dan Bollywood, aktor seperti Rajinikanth, Amitabh Bachan dah Datuk Shah Rukh Khan masih ada tarikan menjadi hero. Kehadiran Aarif dan pelakon muda lain sekadar mengimbangi populariti Jackie Chan itu.

Sekalipun Kung Fu Yoga adalah gabungan budaya dan mitos Cina dan India, tetapi strategi pemasarannya tidak lari daripada resipi Hollywood kerana jika diamati pengaruh Fast And Furious dan The Indiana Jones ada dalam filem itu. Populariti Jackie Chan merentas dunia melalui pelbagai filem aksinya sebelum ini, dan jika Hollywood namanya sudah pateri dan Kung Fu Yoga lebih tepat dikatakan strategi Jackie Chan juga bertindak selaku produser untuk filem China menawan Timur dan Barat, yang harus kita maklum China bakal menjadi kuasa besar dunia.

Filem adakala menjadi simbolik untuk diterjemahkan bagaimanakah nanti pakatan China dan India menjadi kuasa besar dunia dengan menggantikan Amerika Syarikat.

Filem Jackie Chan. sekalipun banyak diselitkan aksi komedi tetapi perihal arkeologi tetap dititikberatkan dan ditekankan melalui dialog ‘respeck history’ walaupun sedang bertarung mengingatkan kita sekalipun moden bagaimana kehidupan dilalui, mencintai warisan bangsa haruslah dipelihara ketamadunan manusia dapat dipelajari generasi akan datang.

Eksperiman menggandingkan artis muda dan veteran dalam Kung Fu Yoga nyata menjadi kerana di kala ekonomi beragam melalui kenyataan wakil GSC, Pui Yee yang dihubungi penulis setakat ini filem Kung Fu Yoga sudah mencatat kutipan RM27 juta sejak memasuki tayangan pada 27 Januari lalu.

Kutipan itu jelas mengatasi filem Barat lain seperti xXx: The Return Of Xander Cage, Resident, Split dan Journey To The West, begitu juga filem tempatan yang masih lembap kutipannya.

Penulis Pengarang

Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 3:05 AM