Nora akui akan kahwin dengan Nedim pada tahun ini. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon popular Nora Danish mengesahkan bakal berkahwin dengan kekasihnya Nedim Nazri pada tahun ini.

Nora, 36, bagaimanapun belum bersedia berkongsi lebih lanjut tarikh dan butiran majlis perkahwinan.

"Ya saya memang akan berkahwin tahun ini. Cuma buat masa sekarang saya belum boleh berkongsi lebih lanjut.

"Insya-Allah jika semuanya sudah selesai saya bersedia untuk menguar-uarkan kepada semua. Jangan risau saya pasti berkongsi berita gembira ini," katanya yang ditemui pada malam tayangan filem Surga Yang Tak Dirindukan 2, di sini, malam tadi.

Ditanya sama ada majlis perkahwinan Nora dan Nedim berlangsung sebelum sambutan Aidilfitri ini, Nora tetap tidak berganjak daripada jawapan sebelumnya.

"Saya akan maklumkan nanti," katanya ringkas.

Desas-desus mengenai perkahwinan Nora dan Nedim mulai diperkatakan sejak tahun lalu lagi.

Namun, ketika itu Nora belum memberikan sebarang kepastian berkenaan perancangan perkahwinan mereka.

Pada masa sama, Nora yang melakonkan watak Sheila dalam filem terbitan MD Pictures itu berkata, dia mengambil keputusan untuk memperlahankan aktiviti lakonan selepas berkahwin nanti.

"Selepas berkahwin saya mahu memberi fokus kepada perniagaan pula. Kalau berlakon pun tak kerap macam sekarang.

"Cuma kalau boleh tahun ini saya nak berlakon sebuah drama bersiri. Bagi saya ia perlu bagi mengekalkan nama dalam industri. Tambahan pula saya memiliki perniagaan, jadi saya tak boleh berhenti terus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 1:28 AM