Calon SPM menjawab kertas soalan di SMK Alor Akar, Kuantan. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 adalah pada 16 Mac depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, KPM merujuk kepada isu tarikh pengumuman keputusan SPM 2016 yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

"Justeru, kami ingin menjelaskan KPM sentiasa memastikan proses penyediaan data keputusan peperiksaan SPM pada semua peringkat adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

"KPM melaksanakan penjaminan kualiti bagi memastikan keputusan yang dikeluarkan adalah tepat dan sahih demi keadilan kepada calon," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai perubahan tarikh pengumuman keputusan SPM 2016 berikutan kerosakan mesin pemprosesan pembaca tanda optik (OMR) dan kekangan kewangan membaik pulih mesin berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan Lembaga Peperiksaan (LP) terpaksa menunda pengumuman analisis keputusan SPM 2016.

Berdasarkan surat pekeliling dikeluarkan bertarikh 12 Februari 2017 yang ditandatangani Pengarah LP, Datin Nawal Salleh, pengumuman analisis keputusan SPM 2016 yang sepatutnya diadakan pada 2 Mac terpaksa ditunda kepada 16 Mac ini.

Surat pekeliling yang salinannya turut berikan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Pengarah Peperiksaan dan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan itu menyatakan mesin pemprosesan OMR yang sedang digunakan LP uzur dan rosak sekali gus menuntut untuk diganti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 7:32 PM