Ahmad menunjukkan senjata api yang dirampas dalam serbuan di Kampung Biah. FOTO Francis Andin
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Keningau: Seorang lelaki ditahan selepas memiliki selaras senapang buatan sendiri jenis ginsok dan beberapa peralatan membuat senjata di rumahnya di Kampung Biah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, ketika serbuan jam 11 pagi oleh Bahagian Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, suspek melarikan diri ke kawasan hutan di belakang rumah.

"Suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan menemui selaras senapang buat sendiri jenis ginsok, tiga batang paip, tiga botol mengandungi peluru timah, dua botol belerang dan mancis," katanya dalam sidang media di IPD Keningau, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut menemui satu kenderaan pacuan empat roda dipercayai kenderaan curi yang disembunyikan di ladang kebun kelapa sawit.

"Kenderaan itu dilaporkan hilang di Sindumin, Sipitang, 20 Disember lalu. Suspek berusia 35 tahun bersama barang rampasan dibawa ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Ahmad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 4:21 PM