Bomba mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kereta Perodua MyVi. - Foto Ihsan BOMBA
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Jeli: Tiga maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan lori membawa muatan motosikal di Batu 8 Lebuh Raya Timur Barat, Jalan Jeli - Gerik, awal pagi hari ini.

Semua yang maut dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu berada dalam Perodua MyVi manakala pemandu lori berusia 37 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Setakat ini, mangsa maut yang sudah dikenal pasti ialah penumpang belakang Perodua MyVi, Mohamad Alif Nadehar Abdul Karim, 26, manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shahril Mohamad Sa'aid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.23 pagi dan sebuah jentera bersama seorang pegawai dan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati semua mangsa dalam kereta sudah meninggal dunia.

“Kami mengeluarkan mayat mangsa di belakang sebelum mengeluarkan dua lagi mayat yang tersepit di depan.

"Mayat kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Jeli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 10:03 AM